Jordan Mintah (tengah) mungkin diserapkan dalam skuad utama. FOTO TFC
Jordan Mintah (tengah) mungkin diserapkan dalam skuad utama. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan Terengganu FC (TFC) gagal mencapai indeks prestasi utama (KPI) musim ini selepas sekadar menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh yang mengakui jelas kecewa dengan kedudukan berkenaan berbanding tempat ketiga musim lalu.

Lebih mengecewakan kem TFC Sdn Bhd apabila skuad Penyu juga gagal menempatkan diri secara automatik ke pentas Piala AFC sebagaimana musim lalu walaupun peluang belum tertutup rapat untuk memburu tempat dengan syarat perlu menjuarai Piala Malaysia musim ini.

CEO (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh. FOTO Malik Muhamad
CEO (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh. FOTO Malik Muhamad

"Tidak tercapai...KPI liga pada tahun ini kita sasarkan kedudukan yang lebih baik berbanding ketiga musim lalu dan seterusnya layak beraksi di pentas Piala AFC musim depan sebagaimana musim ini.

"Bagaimanapun peluang buat TFC untuk mengisi satu lagi slot ke pentas Piala AFC musim depan bagi mengiringi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih ada dan belum tertutup rapat.

"Namun cabarannya sudah pasti lebih getir kerana perlu menjulang Piala Malaysia lebih-lebih lagi kali terakhir dimenangi pasukan pada 20 tahun lalu, namun sekiranya perancangan dan rezeki memihak kepada kita, mana tahu TFC bakal melayakkan diri buat kali kedua berturut-turut walaupun saingan Piala AFC membabitkan Kumpulan I musim ini dibatalkan," katanya.

Mengenai pembatalan dua tahun berturut-turut saingan Piala Cabaran termasuk musim ini, beliau menjelaskan terkesan dengan pembatalan kejohanan itu.

"Kita akui terkesan dengan pembatalan kejohanan itu kerana ianya boleh dijadikan medan buat pemain untuk menambahkan lagi minit permainan mereka lebih-lebih lagi pasukan itu tidak dapat beraksi dalam pentas Piala Malaysia kerana syarat tidak membenarkan.

"Bagaimanapun kebaikannya apabila kita boleh menggunakan khidmat beberapa pemain skuad Terengganu FC II (TFC II) bagi menambah kekuatan pasukan dalam saingan Piala Malaysia.

"Kemungkinan akan ada rombakan kecil buat pasukan menjelang kejohanan paling berprestij dalam negara dan tertua di Asia itu sekali gus bagi mengulangi pencapaian menjulang trofi itu pada 2001," katanya.

TFC yang dilihat tumpul di barisan serangan berkemungkinan membawa masuk penyerang TFC II, Jordan Mintah, pemain pertahanan, Argzim Redzovic dan pemain tengah kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 5:26 PM