Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) mendapat suntikan semangat baharu menjelang pertemuan dengan PDRM FC, Sabtu ini apabila sebuah syarikat, Tea Peng King (TPK) Legacy tidak melepaskan peluang untuk menjadi penaja baharu pasukan itu.

Pengarah Operasi TPK Legacy, Mohd Farhanuddin Saleh berkata, pihaknya terpanggil untuk turut sama menaja sebagai sokongan lebih-lebih lagi skuad TFC bakal beraksi di pentas Asia musim ini.

"Pihak kami terpanggil untuk berkongsi rezeki dengan TFC, lagipun pasukan ini sudah menjadi jenama besar dalam negara, jadi untuk permulaan kami menghulurkan sumbangan sebanyak RM70,000 pada musim ini.

"Pada musim depan, syarikat kami yang mengeluarkan barangan berasaskan makanan dan minuman berhajat untuk terus menaja pasukan kesayangan ini agar terus berdaya saing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan juga Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia)," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani kontrak penajaan di Pejabat Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, di Gong Badak, hari ini.

Dalam majlis itu, TFC Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh manakala TPK Legacy diwakili Mohd Farhanuddin yang disaksikan Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abbas dan Pegurus Pemasaran TPK Legacy, Amri Fahmi Salleh.

Sementara itu Ab Rasid berkata, pihak pengurusan menyambut baik penajaan daripada pelbagai syarikat dalam menyemarakkan lagi pasukan terutama TFC bakal beraksi dalam saingan Piala AFC.

"Kami mengalukan-alukan penajaan daripada mana-mana syarikat yang berminat untuk turut sama menaja pasukan TFC pada musim ini.

"Setakat ini sebanyak 20 syarikat sudah menaja kelab ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM10 juta dalam bentuk kewangan dan barangan, ianya meningkatkan berbanding 15 syarikat pada tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 5:33 PM
RASID Jusoh (dua kiri) bersama Pengarah Operasi TPK Legacy, Farhanuddin (dua kanan) pada majlis menandatangani kontrak penajaan TPK Legacy. FOTO Ghazali Kori
RASID Jusoh (dua kiri) bersama Pengarah Operasi TPK Legacy, Farhanuddin (dua kanan) pada majlis menandatangani kontrak penajaan TPK Legacy. FOTO Ghazali Kori