Ab Rasid Jusoh. FOTO Ihsan TFC
Ab Rasid Jusoh. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd tidak menunggu lama memperkemaskan pentadbirannya apabila melantik bekas 'orang kuat' skuad T-Team, Ab Rasid Jusoh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pasukan itu bermula bulan ini.

TFC Sdn Bhd turut melantik bekas pengurus Terengganu FC III, Mohd Sabri Abas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) bagi memantapkan lagi pengurusan pasukan berkenaan.

"TFC mengucapkan tahniah dan selamat datang buat Ab Rasid Jusoh yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi TFC Sdn Bhd.

"TFC kini bergerak sebagai sebuah kelab bola sepak profesional yang diuruskan oleh syarikat berstruktur korporat. Ini adalah permulaan bagi sesuatu yang baharu khususnya dalam arena sukan bola sepak di Terengganu.

"Bagi memantapkan lagi pengurusan, ianya memerlukan kerjasama daripada semua pihak dalam memastikan TFC bakal bergerak dengan langkah positif berlandaskan pelan atur dan tindakan yang telah dirancang untuk membolehkan kelab ini dapat bersaing dan terus maju dari tahun ke tahun.

"Kejayaan dalam kejohanan semestinya menjadi keutamaan bagi semua pasukan bola sepak, namun TFC perlu membina penstrukturan pengurusan yang kukuh dalam pelbagai sudut kerana itulah kunci kejayaan bagi keseluruhan aspek dalam sesebuah pasukan bola sepak." Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan TFC malam tadi.

Sementara itu, Ab Rasid yang pernah menjawat jawatan CEO pasukan T-Team bermula 2013 hingga 2015 selain bertanggungjawab dalam penubuhan kelab itu pada 2006 begitu terharu atas pelantikannya memikul tanggungjawab yang diamanahkan dalam memastikan pasukan bola sepak negeri terus melangkah ke hadapan.

"Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan ianya adalah tanggungjawab besar yang perlu dipikul bagi menerajui TFC," katanya.

Bagi Mohd Sabri yang pernah membawa skuad Piala Presiden Terengganu muncul juara pada 2018 menganggap ianya sebagai cabaran baharu buatnya, namun tetap berazam membawa TFC ke tahap yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 2:48 PM