HAMIDIN Mohd Amin. -FOTO NSTP
HAMIDIN Mohd Amin. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan bahawa kos pelaksanaan video bantuan pengadil (VAR) akan dikongsi bersama beberapa pihak lain termasuk Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama MFL bagi mendapatkan gambaran jelas penggunaan teknologi terbabit sebelum membuat pengumuman dalam tempoh terdekat ini.

"Kita akan bersama MFL untuk berkongsi perkara itu(kos penggunaan VAR) dan perbincangan masih lagi berjalan sebelum kita membuat pengumuman.

"Sebenarnya pada peringkat awal kita saya sudah berbincang dengan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, Insya-Allah kita akan buat pengumuman dalam masa terdekat.

"VAR akan bermula pada tahun ini kalau semuanya berjalan lancar tetapi, bukan untuk semua perlawanan. Mungkin contoh tahun ini suku akhir, separuh akhir dan dan final Piala FA dan Piala Malaysia," katanya.

Terdahulu, Hamidin mengesahkan bahawa VAR akan mula diperkenalkan pada tahun ini di Liga Malaysia dalam usaha meningkatkan lagi mutu pengadilan.

Bagaimanapun katanya, penggunaan VAR itu tidak secara menyeluruh kerana hanya membabitkan perlawanan penting seperti suku akhir, separuh akhir dan final Piala FA dan Piala Malaysia.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa FAM dan MFL bersetuju untuk melaksanakan VAR dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Perkara itu dikongsikan TMJ dalam satu ciapannya di laman Twitter semalam sebaik sahaja tamat perlawanan antara Malaysia dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 1:30 PM