NOOR Azman Rahman. FOTO Owee Ah Chun
NOOR Azman Rahman. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukan hanya cakap kosong atau ambil sikap sambil lewa mengenai usaha untuk menggunakan video bantuan pengadil (VAR) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M).

Menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, pihaknya sudah mengadakan perbincangan berkaitan VAR dan hanya menunggu masa untuk diumumkan.

"Sebenarnya dalam perbincangan, mungkin ada berita baik mengenai penggunaan VAR. Cuma kaedah penggunaan itu Datuk S Sivasundaram sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil akan umumkan.

"Belum diputuskan lagi (berapa jumlah pengadil akan dihantar untuk latihan VAR), tetapi sudah ada dalam perbincangan. Kita akan ada penggunaan VAR itu, cuma tunggu masa.

"Biar Datuk Sivasundaram yang umumkan. Kami sudah melakukan tiga, empat kali mesyuarat dan benda itu sudah peringkat nak kena umumkan sahaja," katanya.

Terdahulu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini dilaporkan mengesahkan teknologi VAR akan mula diperkenalkan pada tahun ini di Liga M.

Beliau bagaimanapun berkata, penggunakan VAR itu tidak secara menyeluruh kerana hanya membabitkan perlawanan penting seperti suku akhir, separuh akhir dan final Piala FA dan Piala Malaysia.

Beberapa perkara perlu dipertimbangkan FAM dalam pelaksanaan VAR dalam Liga M terutama membabitkan kos yang tinggi dan kesediaan infrastruktur di stadium bagi penggunaan teknologi itu.

Rata-rata peminat mahukan VAR dilaksanakan dalam saingan Liga M bagi membantu pengadil untuk memastikan keputusan lebih tepat dapat dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 4:22 PM