CEO MFL, Datuk Stuart Ramalingam. -FOTO NSTP
CEO MFL, Datuk Stuart Ramalingam. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Adakah aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara skuad Harimau Malaya menentang Taiwan bakal mencipta sejarah dengan penggunaan sistem bantuan pengadil (VAR)?

Itu persoalan yang timbul kemungkinan teknologi VAR akan digunakan buat pertama kalinya di halaman sendiri babitkan skuad kendalian Kim Pan-gon yang akan melayan kunjungan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun ini.

Teknologi VAR yang akan digunakan secara rasmi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini sedia untuk dipinjamkan kepada skuad kebangsaan sekiranya ia diperlukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, pihaknya bersedia pada bila-bila masa membantu FAM seandainya teknologi berkenaan mahu digunakan oleh skuad negara.

"Untuk melaksanakan VAR untuk pasukan kebangsaan, FAM hanya perlu meminta kepada MFL untuk kemudahan aset-aset kita sudah beli. Adalah keutamaan kita berikan penggunaan VAR kepada skuad kebangsaan, jikalau FAM memerlukan untuk melaksanakan dalam perlawanan.

"Kita tahu perlawanan-perlawanan juga memerlukan kelulusan daripada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) kegunaan dalam perlawanan.

"MFL sudah bersiap sedia menyokong FAM jikalau VAR perlu dilaksanakan di peringkat perlawanan pasukan kebangsaan," katanya.

Untuk rekod, ketika ini terdapat empat set VAR yang dibeli oleh MFL bagi digunakan dalam saingan Liga M musim ini.

Katanya lagi, setakat ini masih belum ada perbincangan mengenai perkara itu bersama FAM.

"Belum lagi, mungkin beri masa sedikit kepada FAM sebab kelulusan (Fifa memberi kelulusan VAR) baru diterima semalam (kelmarin). Kita kena tengok juga teknologi ini yang kita gunakan dalam musim ini adakah stabil, adakah dilaksanakan dengan baik.

"Saya rasa itu juga akan mendapat perhatian FAM sebagai badan induk. Jikalau operasi kita sempurna, saya pasti FAM akan adakan perbincangan (meminjam VAR) dengan MFL," katanya.

Ujarnya lagi, pihaknya juga bersedia membantu empat kelab tempatan yang bersaing di peringkat Asia jika diminta untuk menyediakan kemudahan VAR.

Empat kelab bakal mengibar cabaran Malaysia di pentas antarabangsa antaranya Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Elit (ACL Elit) dan Selangor FC dalam kempen ACL II, dengan lawan menanti babitkan kelab-kelab gergasi Asia Timur seperti Korea Selatan, Jepun, China dan Thailand.

Manakala Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC akan bersaing dalam Kejuaraan Kelab Asean edisi pertama bersama 12 pasukan termasuk dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Laos.

Kesemua saingan itu dijangka bermula pada Julai atau Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 1:33 PM