VAR sepatutnya bersedia digunakan sebaik aksi Liga Super bermula pada pertengahan April tahun depan. FOTO Reuters
VAR sepatutnya bersedia digunakan sebaik aksi Liga Super bermula pada pertengahan April tahun depan. FOTO Reuters
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Isu pengadil mungkin akan reda sedikit pada musim hadapan apabila sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) akan digunakan pada semua perlawanan Liga Super kelak.

Hal ini bermakna, isu membabitkan mutu atau kualiti pengadilan mungkin akan berkurangan sekali gus pengadil tidak lagi menjadi 'objek' serangan penyokong bola sepak tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam bahawa VAR sepatutnya bersedia digunakan sebaik aksi Liga Super bermula pada pertengahan April tahun depan.

"Harapan kami untuk menggunakan VAR di semua perlawanan Liga Super. Pada musim hadapan semua pengadil sudah mendapat sijil untuk menggunakan teknologi terbabit daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

"Kita mengadakan bengkel untuk jurulatih dan pemain serta berkongsi maklumat kepada media berkaitan penggunaan VAR. Perkara penting adalah pengetahuan mengenai VAR kerana tidak mahu inisiatif terbabit terhenti begitu saja.

"MFL melakukan yang terbaik untuk memastikan ia disediakan untuk setiap perlawanan. Kami cuba menggunakan trak VAR mudah alih dan mengambil kira penjadualan perlawanan juga," katanya.

Mengikut rekod, kualiti pengadilan sering menjadi isu perdebatan di kalangan penyokong bola sepak tanah air termasuklah membabitkan perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Terengganu FC.

Pada perlawanan itu, menyaksikan pengadil menghadiahkan tiga sepakan penaliti dengan perlawanan menyaksikan JDT menjulang Piala Malaysia selepas menumpaskan Terengganu FC 3-1.

Mengikut rekod, Kali pertama VAR dilaksanakan di negara ini adalah ketika perlawanan akhir Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 antara Kuala Lumpur City (KL City) FC menentang Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 2:53 PM