MBAPPE (kiri) menjadi sandaran Perancis manakala Hakimi sandaran untuk Maghribi. FOTO AFP
MBAPPE (kiri) menjadi sandaran Perancis manakala Hakimi sandaran untuk Maghribi. FOTO AFP
Agensi

Doha: Kylian Mbappe akan bertemu lagi dengan rakan baiknya, Achraf Hakimi di Piala Dunia kali ini.

Namun ia tidak seperti kali pertama di Qatar minggu lalu, apabila bintang Perancis itu melawat rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG) dekat hotel pasukan Maghribi di pusat bandar Doha.

Awal pagi Khamis ini, Mbappe akan menjadi tumpuan Hakimi dalam aksi separuh akhir Piala Dunia.

"Achraf Hakimi. Pertahanan kanan terbaik di dunia," tulis Mbappe dalam bahasa Inggeris di akaun Twitter miliknya, Januari lalu bagi merujuk posisi yang diisi oleh Hakimi untuk kelab dan negaranya.

Ia adalah pertarungan pentas tertinggi bagi kedua-dua bintang itu di Piala Dunia yang bakal menjadi sejarah antara mereka.

Mbappe lawan Hakimi - penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol dalam lima perlawanan - menentang pertahanan terbaik pada kejohanan kali ini apabila hanya dibolosi sekali, dan itu pun adalah gol sendiri.

Ia adalah permulaan persahabatan yang indah apabila pemain Maghribi itu menyertai Mbappe di PSG pada Julai 2021 dari Inter Milan dengan bayaran perpindahan yang dilaporkan berjumlah 60 juta euro (280.7 juta).

Kedua-duanya dilahirkan dalam tempoh beberapa minggu antara satu sama lain pada tahun 1998, hanya beberapa bulan selepas Perancis menjulang Piala Dunia pertamanya.

Hakimi pernah bercakap mengenai bagaimana mereka berkongsi citarasa yang sama dalam muzik dan permainan video, dan Mbappe membantu rakannya itu mempelajari bahasa Perancis.

Hakimi adalah seorang Muslim yang taat dan untuk cuti perayaan Aidilfitri pada tahun ini, mereka bekerjasama untuk video yang dikongsi oleh kelab mereka. Hakimi membimbing Mbappe merasai makanan Arab.

Di atas padang pula, mereka sering berkongsi kegembiraan apabila meraikan gol.

"Sangat mudah beraksi dengan pemain sepertinya. Beri dia bola dan dia akan melakukan segala-galanya," kata Hakimi mengenai Mbappe.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 2:31 PM