MBAPPE (kanan) memeluk Hakimi selepas tamat perlawanan. FOTO AP
MBAPPE (kanan) memeluk Hakimi selepas tamat perlawanan. FOTO AP
Agensi

Al Khor: Kylian Mbappe memakai jersi Maghribi yang dipakai rakan baiknya, Achraf Hakimi untuk meraikan kejayaan Perancis mara ke final Piala Dunia.

Gol oleh Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani memastikan Perancis membuat perhitungan dengan Argentina pada aksi final, Ahad ini.

Salah satu pertembungan yang menjadi tumpuan pada perlawanan itu adalah antara dua bintang Paris Saint-Germain (PSG), Hakimi dan Mbappe.

Gandingan itu dilihat serasi beraksi bersama di Paris namun pada Januari lalu, Mbappe menegaskan perlu 'memusnahkan' sahabat baiknya itu sekiranya mereka bertemu antara satu sama lain di Piala Dunia.

Prestasi Hakimi dan Mbappe agak seimbang namun Perancis yang keluar selaku pemenang dan akan berusaha untuk mempertahankan mahkota kejuaraan dunia.

Kedua-dua bintang PSG itu dilihat berpelukan selepas tamat perlawanan dan saling bertukar jersi.

MBAPPE (tengah) meraikan kejayaan pasukannya dengan memakai jersi Hakimi. FOTO EPA
MBAPPE (tengah) meraikan kejayaan pasukannya dengan memakai jersi Hakimi. FOTO EPA

Mbappe menyarung jersi rakannya sebelum menyertai rakan sepasukannya meraikan kejayaan Perancis.

Hakimi juga melakukan perkara yang sama, memakai baju Mbappe sebelum memasuki terowong.

Penyokong gembira melihat hubungan akrab antara Mbappe dan Hakimi.

Seorang pengguna di Twitter menulis: "Hubungan persahabatan antara Mbappe dan Hakimi mencairkan hati saya."

Seorang lagi menulis: "Cara Mbappe memakai baju Hakimi selepas tamat perlawanan mengingatkan saya mengenai persahabatan sebenar."

Pasangan itu juga dirakam duduk bersama di dalam terowong selepas tamat perlawanan sebelum mereka disambut oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 9:40 AM