HAKIMI yakin Maghribi mampu menewaskan Sepanyol, sekali gus mara ke suku akhir. FOTO Reuters
HAKIMI yakin Maghribi mampu menewaskan Sepanyol, sekali gus mara ke suku akhir. FOTO Reuters
Reuters

Doha: Achraf Hakimi dilahirkan di Madrid, tetapi tidak teragak-agak menewaskan Sepanyol apabila dia dan rakan skuad Maghribi menentang juara Piala Dunia 2010 itu di pusingan kedua, malam esok.

Bek sayap itu antara tonggak pasukan Afrika Utara itu yang akan bertemu Sepanyol di Stadium Education City di Al Rayyan untuk mengintai penampilan ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama, malam esok.

Hakimi mungkin berada dalam pasukan berbeza apabila dia sebelum ini pernah dipanggil menyertai skuad remaja Sepanyol.

"Saya merasakan ia bukan tempat yang tepat untuk saya, saya tidak berasa seperti berada di rumah sendiri.

"Bukan semua yang tidak kena, tetapi ia tidak seperti bagaimana saya rasakan dan buat apabila berada di rumah dengan budaya Arab, menjadi orang Maghribi," katanya kepada akhbar Sepanyol, Marca menjelang pertemuan malam esok.

Bapa Hakimi adalah peniaga jalanan di Madrid manakala ibunya bekerja sebagai pengemas rumah.

Anak mereka ditandatangani oleh Real Madrid ketika berusia tujuh tahun dan mendapat slot pasukan utama kemudian dipinjamkan ke Borussia Dortmund, memang gelaran Serie A bersama Inter Milan dan kini bermain di sisi Lionel Messi serta Kylian Mbappe di Paris St Germain dan baru saja berusia 24 tahun.

Ini bukan kali pertama dia akan bermain menentang Sepanyol.

Hakimi turut berada dalam pasukan yang hampir menewaskan mereka di Kaliningrad pada 2018, tetapi dibolosi pada masa kecederaan untuk seri 2-2 di Piala Dunia Rusia.

"Empat tahun berlalu dengan pengalaman yang bermakna mental saya semakin matang," katanya.

"Sepanyol dalam kelompok lima pasukan terbaik dan selalu datang ke Piala Dunia untuk menang. Tetapi, jurulatih kami turut mengajar mengenai mentaliti kemenangan, tidak kira kami menentang siapa. Jadi, kami akan bermain cara kami untuk menewaskan mereka.

"Kami menduduki tangga teratas kumpulan dan saya fikir layak dihormati. Saya fikir Sepanyol turut sedar hakikat itu dan mereka sedikit bimbang terhadap kami. Jadi, tiada sebab kami tidak boleh melakukan kejutan sekali lagi," katanya.

Maghribi mara ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan F selepas menang 2-0 ke atas Belgium dan Kanada, manakala Croatia di tempat kedua kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 10:02 PM