REAKSI kecewa Luis Enrique selepas Sepanyol tewas kepada Maghribi pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia. FOTO Reuters
REAKSI kecewa Luis Enrique selepas Sepanyol tewas kepada Maghribi pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia. FOTO Reuters
Reuters

Madrid: Bekas jurulatih Sepanyol, Luis Enrique bersedia menghadapi cabaran baharu dan berharap dapat meneruskan kariernya di peringkat kelab selepas empat tahun mengendalikan pasukan kebangsaan.

Luis Enrique dipecat Khamis lalu selepas Sepanyol tewas menerusi sepakan penalti kepada Maghribi dalam pusingan 16 terakhir dan pengurus skuad bawah 21 tahun negara itu, Luis de la Fuente dinamakan sebagai penggantinya.

"Saya mahu melatih pasukan. Saya melihat diri saya mampu membimbing pasukan kelab dengan tunjuk ajar lebih baik di mana saya tidak dapat lakukan dalam pasukan kebangsaan.

"(Tetapi) saya mungkin akan menunggu sehingga musim depan. Hari ini saya diberitahu yang saya sudah didaftar untuk menyertai perlumbaan basikal lasak yang akan saya lakukan dengan abang saya," kata Luis Enrique dalam satu temuramah.

Luis Enrique menambah beliau pernah ditawarkan peluang untuk melanjutkan kontraknya selepas Euro 2020 yang menyaksikan Sepanyol disingkirkan menerusi sepakan penalti oleh pasukan juara, Itali pada aksi separuh akhir, namun dia menolaknya.

"Saya berkata bahawa perkara terbaik untuk dilakukan ialah hadapi Piala Dunia dahulu.

"Saya rasa ia lebih masuk akal. (Jika tidak) mereka memperbaharui kontrak saya sebelum kita mengetahui keputusan di Piala Dunia.

"Mereka hanya (perlu) memberitahu saya bahawa kontrak saya tidak akan diperbaharui dan sudah tamat," katanya.

Bekas pemain dan jurulatih Barcelona berusia 52 tahun itu menambah bahawa ini adalah kali pertama dalam karier pengurusannya bahawa kontraknya tidak akan dilanjutkan.

"Saya lebih suka begitu. Jika tidak ada lagi kepercayaan kepada anda, maka saya menerimanya dan teruskan kehidupan seperti biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 7:24 AM