ENRIQUE (dua dari kanan) memberi arahan kepada pemain Sepanyol pada sesi latihan menjelang perlawanan dengan Maghribi. FOTO EPA
ENRIQUE (dua dari kanan) memberi arahan kepada pemain Sepanyol pada sesi latihan menjelang perlawanan dengan Maghribi. FOTO EPA
Reuters

Al Rayyan, Qatar: Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique yakin pasukannya mampu mengatasi Maghribi pada aksi 16 terakhir di Piala Dunia, malam esok dan menangani tekanan sekiranya perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Maghribi adalah juara kumpulan mengejut apabila mengatasi pasukan pilihan, Croatia dan Belgium.

Sepanyol pula menduduki tangga kedua kumpulan selepas tewas kepada Jepun dan akan menentang wakil Afrika tunggal itu di pusingan kalah mati, malam esok.

Ketika kempen Kejohanan Eropah tahun lalu, Sepanyol dua kali terbabit dalam penentuan sepakan penalti dan menewaskan Switzerland di suku akhir, tetapi tewas di separuh akhir kepada Itali yang kemudiannya muncul juara.

"Lebih setahun lalu, dalam beberapa kem latihan skuad kebangsaan, saya memberitahu pemain, 'Kamu ada kerja rumah menjelang Piala Dunia. Kamu perlu mengambil sekurang-kurangnya 1,000 penalti dengan kelab'. Kamu tidak boleh hanya berlatih melakukannya ketika bersama skuad kebangsaan sahaja," kata Luis Enrique kepada media, hari ini.

"Saya tidak fikir ia adalah loteri. Jika anda kerap berlatih, cara anda mengambil sepakan penalti semakin meningkat. Sudah tentu anda tidak boleh berlatih mengenai tekanan, tetapi anda boleh menanganinya.

"Ia tidak bergantung kepada nasib, penjaga gol adalah kunci utama ketika sepakan penalti. Semua tiga penjaga gol kami bagus mengenai aspek itu. Dalam sesi latihan, ada pemain mengambil sepakan penalti dan ia adalah kerja rumah yang diutamakan."

Luis Enrique diberikan markah B+ mengenai aksi peringkat kumpulan dengan tumpuan kepada 15 minit perlawanan dengan Jepun apabila mereka diasak teruk.

"Kami ada idea yang jelas," katanya. "Kami tidak perlu menguasai lawan selama 90 minit. Di Piala Dunia, banyak pasukan terbaik dan anda menentang pasukan dengan pemain serta jurulatih pada tahap tertinggi," kata Enrique.

"Maghribi berada pada mood terbaik ketika ini, motivasi mereka tinggi apabila menjuarai kumpulan yang cukup mencabar."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 10:44 PM