LLORIS pada sidang media. FOTO AFP
LLORIS pada sidang media. FOTO AFP
AFP

Doha: Hugo Lloris berkata dia 'berbesar hati dan sangat berbangga' berhubung prospek menyamai Lilian Thuram sebagai pemain paling banyak beraksi untuk Perancis menjelang pertembungan pusingan 16 terakhir Piala Dunia menentang Poland di Doha.

"Ia bukan pencapaian kecil. Saya amat berbesar hati dengan angka itu dan amat berbangga," kata kapten Perancis itu kepada pemberita.

Lloris berpeluang meraih penampilan ke-142 untuk negaranya sekali gus menyamai rekod dipegang oleh bekas bek kanan, Thuram sepanjang 14 tahun kerjaya antarabangsanya dan menjadi sebahagian pemain yang memenangi Piala Dunia 1998.

Lloris yang juga penjaga gol Tottenham Hotspur, membuat penampilan sulung bersama Perancis pada November 2008, hanya beberapa bulan selepas Thuram bersara di pentas antarabangsa.

"Pada pandangan saya, persaingan ini lebih penting daripada yang lain," tegas Lloris ketika Perancis sedang melakukan persediaan untuk menentang Poland di Stadium Al Thumama.

"Saya mahu menyimpan tenaga saya untuk esok (Ahad) kerana ia akan menjadi satu lagi perlawanan penting.

"Rekod itu adalah sesuatu yang amat saya hargai sebaik sahaja pertandingan ini tamat, dan saya harap ia berakhir dengan cara yang terbaik."

Lloris, yang mengetuai Perancis untuk memenangi Piala Dunia 2018, dijangka akan kembali dalam kesebelasan utama menentang Poland selepas direhatkan ketika tewas 0-1 kepada Tunisia pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 8:06 PM