SESI latihan Lloris bersama skuad Perancis. -FOTO AP
SESI latihan Lloris bersama skuad Perancis. -FOTO AP
AFP

Doha: Menjadi kapten untuk negaranya lebih sedekad, Hugo Lloris akan mencipta sejarah pasukan kebangsaan Perancis apabila dia mengetuai penyandang juara Piala Dunia itu untuk pertembungan suku akhir menentang England bersama-sama Harry Kane.

Lloris dan kapten England, Kane yang menjadi rakan pasukan di Tottenham sejak 2013, tetapi ketika itu penjaga gol itu sudahpun menyandang tugas kapten Perancis yang kali pertama diberi tanggungjawab memakai lilitan lengan oleh Laurent Blanc ketika aksi persahabatan menentang England November 2010.

Ia berlaku tidak lama selepas kempen Piala Dunia Perancis di Afrika Selatan dan selepas 12 tahun bersama Lloris akan mencipta rekod dengan 143 penampilan menentang England di Stadium Al Bayt Stadium, mengatasi rekod Lilian Thuram.

"Untuk mencapainya dalam karier dan kekal di pertingkat tertinggi dalam tempoh 10 ke 12 tahun dan hampir tidak pernah mengalami kecederaan serius menunjukkan betapa konsistennya dia," kata penolong jurulatih Perancis Guy Stephan minggu ini.

Lloris akan berusia 36 tahun bulan ini dan sudah banyak berubah sejak kali pertama menjadi kapten di peringkat antarabangsa ketika bermain bersama kelab bola sepak Lyon.

Dia pernah berada di pihak yang kalah dalam final Liga Juara-Juara sebelum merangkul trofi Piala Dunia empat tahun lalu di Russia.

"Saya berkembang secara semula jadi. Saya rasa saya sangat berbeza sekarang berbanding ketika berusia 23 tahun apabila diberi peluang untuk memakai lilitan di tangan buat kali pertama," katanya.

Kehadirannya kini meyakinkan jurulatih Didier Deschamps, ketika banyak perubahan di barisan pertahanan sejak 2018 disebabkan kecederaan.

Raphael Varane adalah satu-satunya pemain dalam kesebelasan utama di Rusia yang dijangka diturunkan menentang England.

Varane memuji Lloris sebagai pemain berpengaruh yang tenang walaupun statistik menunjukkan dia tidak lagi seperti dulu.

Analisis oleh Opta menunjukkan Lloris hanya menyelamatkan 40 peratus daripada cubaan dihadapinya pada Piala Dunia kali ini, jatuh daripada 67 peratus pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 2:06 PM