LLORIS turut beraksi membantu Perancis menjulang Piala Dunia 2018. -FOTO AFP
LLORIS turut beraksi membantu Perancis menjulang Piala Dunia 2018. -FOTO AFP
AFP

Paris: Kapten Perancis, Hugo Lloris mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa pada usia 36 tahun, tiga minggu selepas negaranya tewas dalam perlawanan akhir Piala Dunia menerusi penentuan sepakan penalti kepada Argentina di Doha.

"Saya memutuskan untuk menamatkan kerjaya antarabangsa saya dengan satu perasaan bahawa saya sudah memberikan segala-galanya," kata penjaga gol Tottenham Hotspur, Lloris dalam satu temu bual.

"Saya fikir adalah penting untuk mengumumkan perkara ini sekarang dua setengah bulan sebelum kelayakan Euro bermula."

Lloris membuat penampilan sulung peringkat antarabangsa sebagai pemain ketika berusia 21 tahun dalam perlawanan persahabatan menentang Uruguay pada November 2008, menjadi pemain Perancis yang paling banyak beraksi semasa Piala Dunia.

Dia mengatasi rekod penyandang sebelumnya, Lilian Thuram dengan 142 penampilan yang menamatkan karier dengan cap ke-145 pada perlawanan akhir ketika Perancis tewas 2-4 menerusi sepakan penalti selepas seri 3-3 dalam satu perlawanan epik pada penghujung masa tambahan.

"Saya benar-benar memikirkannya sejak Piala Dunia berakhir tetapi ada sesuatu di dalam diri saya yang membuatkan saya berfikir sejak enam bulan lalu dan ia semakin bertambah ketika saya membuat keputusan ini," katanya.

Bekas penjaga gol Nice dan Lyon itu mengetuai Perancis menang pada Piala Dunia 2018 di Russia.

Dia bermain tujuh kejohanan utama secara keseluruhan termasuk Euro 2016 ketika Perancis tewas aksi final kepada Portugal yang juga tuan rumah.

Penjaga gol simpanan Perancis pada Piala Dunia ialah pemain veteran berusia 37 tahun dari Rennes, Steve Mandanda dan Alphonse Areola dari West Ham United.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 8:32 AM