SAFAWI (kiri) dan Syifa Melvin sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan, malam tadi. FOTO ROHANIS SHUKRI
SAFAWI (kiri) dan Syifa Melvin sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan, malam tadi. FOTO ROHANIS SHUKRI
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menitipkan pesanan kepada tonggak pasukan kebangsaan, Safawi Rasid supaya bijak membahagikan masa antara keluarga dan karier sebagai pemain bola sepak.

Beliau yang hadir ke majlis perkahwinan Safawi dan pempengaruh serta pelakon, Syifa Melvin, malam tadi, turut berharap pemain berusia 25 tahun itu terus 'meletup' dan kembali mendapat sentuhannya dalam bola sepak.

Katanya, Safawi adalah pemain yang cukup berdisiplin, sekali gus mengharapkan perubahan episod dalam kehidupannya yang sudah berkeluarga memberikan suntikan untuk terus mencipta kejayaan pada masa akan datang.

"Saya doakan supaya Safawi dan pasangan hidup bahagia dan berjaya sebagai pemain bola sepak negara serta Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Apa yang boleh saya katakan apabila sudah berkeluarga pastinya banyak pengorbanan perlu dilakukan terutama pembahagian masa antara keluarga dan karier.

"Saya percaya, Safawi akan kembali mendapat sentuhannya menerusi sokongan daripada isteri (Syifa) sebagai pemain bola sepak," katanya ketika ditemui Arena Metro pada majlis perkahwinan Safawi dan Syifa.

Majlis di hotel terkemuka di Petaling Jaya itu menyaksikan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya turut hadir bagi menyaksikan hari berbahagia pasangan itu.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan pembantunya tiba pada 8 malam sebelum disambut ahli keluarga Syifa.

Namun, kelibat pemain JDT tidak kelihatan kerana mereka mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang kelab Jerman, Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.

Kira-kira 300 tetamu hadir pada majlis perkahwinan sebelah perempuan itu dengan mereka berpakaian serba putih mengikut tema ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 7:53 PM