Tonggak skuad kebangsaan, Safawi Rasid.
Tonggak skuad kebangsaan, Safawi Rasid.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Doaku sentiasa bersamamu Superwi." Itu titipan doa mengiringi perjuangan bintang bola sepak negara, Safawi Rasid yang ketika ini bersama skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ucapan doa dan selamat maju jaya itu diluahkan pelakon, Syifa Melvin buat kekasihnya itu di Story Instagram miliknya dengan turut meletakkan emoji love.

Malah, Safawi atau kini diberi gelaran Superwi oleh peminat bola sepak tempatan turut memuatnaik semula ucapan itu di laman sama kepunyaannya dengan membalas emoji kasih sayang.

Ciapan di Story Instagram Syifa Melvin
Ciapan di Story Instagram Syifa Melvin

"Semoga perjalanan ke Dubai selamat, Insya Allah kembali dengan kejayaan yang membanggakan negara dan kelab (ACL untuk JDT). Selamat maju jaya Harimau Malaya dan awak," tulis Syifa.

Kisah percintaan Safawi dan Syifa sebenarnya bukan rahsia lagi apabila pelakon yang juga adik kepada Syatilla Melvin itu pernah dilihat bersama keluarga Safawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Klia) di Sepang ketika menghantar pemain itu untuk beraksi di Portugal.

Malah, Syifa sendiri pernah memuatnaik janji di laman sosial untuk menjaga keluarga Safawi sepanjang ketiadaan pemain sayap itu di Eropah bersama kelab Portimonense SC pada penghujung tahun lalu.

Ketika ini, skuad negara sedang berada di UAE bagi membuat persiapan terakhir menjelang kempen kelayakan menentang tuan rumah pada 3 Jun ini serta dua lagi aksi bertemu Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) untuk mencongak peluang mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia serta tiket automatik ke Piala Asia.

Ucapan istimewa dari kekasihnya itu diharapkan dapat melonjakkan semangat dan motivasi Safawi membantu pasukan negara pada kempen kelayakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 1:16 PM