SAFAWI (kiri) berbisik dengan Syifa Melvin selepas majlis pernikahan dan persandingan mereka, malam tadi. FOTO ROHANIS SHUKRI
SAFAWI (kiri) berbisik dengan Syifa Melvin selepas majlis pernikahan dan persandingan mereka, malam tadi. FOTO ROHANIS SHUKRI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Doakan kami yang terbaik.

Itu ucapan ringkas pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid sebaik selesai majlis pernikahan dan persandingan bersama pasangannya Syifa Melvin, yang berlangsung malam tadi.

Walaupun diadakan secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 300 jemputan terdiri daripada rakan dan ahli keluarga terdekat.

Menerusi Instagram (IG) Safawi, dia berterima kasih kepada tetamu yang hadir pada majlis itu selain ucapan daripada rakan sepasukan dan sahabat berkaitan hari berbahagia kedua-dua mempelai itu.

"Assalamualaikum, terima kasih dengan ucapan anda dan tetamu yang hadir pada majlis kami, malam tadi.

"Doakan kami yang terbaik dan terima kasih semua," katanya menerusi IG Safawirasid29.

Sementara itu, walaupun barisan pemain JDT tidak hadir pada majlis itu berikutan terbabit dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Borussia Dortmund, mereka mengucapkan tahniah kepada Safawi yang menamatkan zaman bujangnya pada usia 25 tahun.

Antara yang terawal berbuat demikian adalah rakan baiknya di JDT, Akhyar Rashid yang mengucapkan selamat pengantin baru dan mendoakan semoga berkekalan.

"Tahniah sahabat, Selamat pengantin baru. Semoga berkekalan ke anak cucu," tulisnya menerusi IG akhyarrashid.

"Tahniah my brother. Semoga perkahwinan anda diberkati Allah," kata Syamer Kutty Abba.

"Tahniah Safawi dan pasangan..semoga berbahagia hingga ke Jannah" kata Syafiq Ahmad.

Selain itu, pemain naturalisasi negara Mohamadou Sumareh turut tidak melepaskan peluang mengucapkan tahniah kepada Safawi di atas permulaan episod baharu dalam kehidupan sebagai suami kepada Syifa.

Terdahulu Safawi sah bergelar suami dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan pada 8.46 malam tadi.

Pasangan terbabit dinikahkan jurunikah, Ustaz Khairil Nizam dan disaksikan bapa pengantin perempuan iaitu Amirol Melvin.

Dalam majlis itu, Safawi atau nama sebenarnya Muhammad Safawi Rasid menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin manakala wang hantaran dirahsiakan.

Turut hadir pada majlis itu adalah barisan kejurulatihan Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan pembantunya tiba pada 8 malam tadi sebelum disambut ahli keluarga Syifa.

Selain Pan-gon, turut kelihatan pada majlis itu adalah bekas jurulatih Harimau Malaya yang kini membimbing Selangor FC, Tan Cheng Hoe.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 7:02 PM