Sadio Mane (kanan) ketika aksi bersama Senegal. FOTO File Agensi
Sadio Mane (kanan) ketika aksi bersama Senegal. FOTO File Agensi
AFP

Doha: Sekalipun tidak beraksi akibat kecederaan semangat bintang Senegal, Sadio Mane tetap menjadi azimat penting pasukan kata kapten, Kalidou Koulibaly.

Mane penyerang Bayern Munich menarik diri daripada menyertai pasukan sebelum kejohanan selepas mengalami kecederaan lutut sekali gus memberi tamparan hebat kepada Senegal untuk memberi impak di Qatar.

Skuad 'The Lions of Teranga' tewas 2-0 pada aksi pembukaan menentang Belanda tanpa khidmat Mane dan dalam misi wajib menang apabila menentang tuan rumah Qatar, esok.

Koulibaly pemain pertahanan Chelsea berkata Mane yang juga Pemain Terbaik Tahunan Afrika menghubungi pasukan itu hampir setiap hari dan memberi motivasi kepada pemain.

"Sekalipun dia tidak bersama kami hari ini di Qatar, dia bercakap dengan semua pemain dan ini sangat penting bagi kami."

"Kami tahu kepentingannya dalam pasukan. Ini adalah semangat yang bagus, mentaliti yang baik, kerana kami memerlukannya dan kami harap dia akan terus memberi sokongan di belakang kami." kata Koulibaly.

Dia berharap aksi terbaik dapat dipamerkan Edouard Mendy yang juga rakan sepasukan di kelab dan negaranya, apabila penjaga gol itu mempamerkan aksi agak gugup pada perlawanan menentang Belanda.

"Edouard pemain sangat penting bagi kami. Saya tak bimbang. Saya tahu Edouard akan berada pada tahap prestasi terbaiknya bagi perlawanan esok dan saya tahu perasaan rakan sepasukan saya." kata Koulibaly.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 9:19 PM