Pertahanan Senegal memberi tekanan kepada pemain Belanda pada saingan Kumpulan A Piala Dunia. FOTO AFP
Pertahanan Senegal memberi tekanan kepada pemain Belanda pada saingan Kumpulan A Piala Dunia. FOTO AFP
Reuters

Doha: Tuan rumah Piala Dunia, Qatar tidak harus gugup apabila berdepan juara Afrika, Senegal bagi perlawanan kedua Kumpulan A, Jumaat ini.

Dua pasukan berkenaan perlu bangkit untuk mencatat kemenangan sekali gus mengelak tersingkir awal daripada kejohanan itu.

Aksi kaku berdepan harapan tinggi beraksi di tempat sendiri dan ketinggalan awal pada aksi pembukaan Ahad lalu menyebabkan Qatar tewas 2-0 kepada Ecuador.

Keadaan itu menyebabkan penyokong skuad tuan rumah mengosongkan stadium beramai-ramai pada separuh masa kedua.

"Kami gagal mengatasi perasaan gemuruh," kata jurulatih Qatar, Felix Sanchez.

"Kami tidak memberi tekanan kepada lawan dan membenarkan banyak ruang di barisan pertahanan. Pasukan tidak seimbang dan ia menyukarkan kami."

Kekalahan di Stadium Al Thumama Doha pastinya meletakkan juara Asia, Qatar menjadi pasukan kedua sebagai tuan rumah di Piala Dunia yang gagal melepasi peringkat kumpulan selepas Afrika Selatan pada 2010.

Sanchez, yang mengumpulkan pemainnya seperti sebuah pasukan kelab selama beberapa bulan sebagai persiapan Piala Dunia berjanji mempamerkan aksi lebih impak dan kompetitif.

Namun mengambil kira pada prestasi pada perlawanan pembukaan mereka, Qatar perlu berusaha lebih gigih untuk berdepan Senegal.

Senegal pula gagal mengekalkan permulaan baik selepas melepaskan dua gol lewat permainan menentang Belanda pada aksi pembukaan mereka dengan Penjaga Gol Terbaik Tahunan, Edouard Mendy bukan individu tunggal yang harus dipersalahkan.

Ketika Mendy hampir pasti mengekalkan tempatnya, peluang berada dalam senarai kesebelasan utama bagaimanapun bergantung penuh kepada jurulatihnya, Aliou Cisse.

Beberapa pertukaran pasti dilakukan Cisse selepas pemain tengah Cheikhou Kouyate terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan dan pertahanan Abdou Diallo yang mengalami kekejangan peha pada aksi lalu.

Senegal mungkin meletakkan penyerang bantuan di belakang Bamba Dieng.

"Bola sepak adalah mengenai kecekapan, apabila anda tidak menjaringkan gol anda tidak boleh menang," kata Cisse, yang kehilangan khidmat bintang mereka Sadio Mane sebelum bermula kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 9:10 PM