Aksi pemain Ecuador (kiri) dan pertahanan Belanda pada saingan Piala Dunia. FOTO EPA
Aksi pemain Ecuador (kiri) dan pertahanan Belanda pada saingan Piala Dunia. FOTO EPA
Reuters

Doha: Skuad muda Ecuador hampir mencipta rekod untuk berada dalam kelompok 16 terakhir Piala Dunia jika mereka menewaskan atau seri berdepan juara Afrika, Senegal dalam saingan tumpuan Kumpulan A di Stadium Khalifa International pada Selasa.

Skuad Amerika Selatan itu tampil dengan permulaan menakjubkan dalam kejohanan apabila mudah menewaskan tuan rumah Qatar, 2-0 sebelum beraksi baik menyekat Belanda apabila sekadar seri 1-1.

Begitupun, tugas mereka belum selesai, jika kalah kepada Senegal mereka akan pulang awal serta gagal mara ke pusingan kalah mati buat kali kedua dalam sejarah Ecuador.

"Kami mempunyai perjuangan yang sangat besar menanti kami." kata jurulatih Gustavo Alvaro yang memberi amaran kepada pemainnya selepas aksi berdepan Belanda mendapat pujian.

Setakat ini, Ecuador bergantung penuh kepada penyerang veteran mereka Enner Valencia yang menjaringkan semua gol mereka serta tiga jaringannya pada Piala Dunia 2014.

Namun dia hanya menerajui banyak bakat hebat di belakangnya antaranya pemain muda beraksi di bahagian tengah Moises Caicedo, 21, yang menjadi tonggak penting Ecuador.

Begitupun, Ecuador sekali lagi berdepan dilema mengenai tahap kecergasan Valencia selepas dia diusung keluar pada minit akhir perlawanan menentang Belanda kerana dihimpit kecederaan lutut yang dialami ketika berdepan Qatar.

"Hanya dia seorang pemain yang mempunyai pengalaman dalam Piala Dunia. Kebanyakannya pemain muda dalam pasukan kami," kata Alfaro yang mengetuai perubahan besar dalam pasukan kebangsaan sehingga membolehkan mereka melepasi saingan paling mencabar dalam kelompok kelayakan Piala Dunia di zon Amerika Selatan.

Senegal bergelut dengan posisi tanpa kehadiran Sadio Mane yang cedera dan sedar mereka harus beraksi lebih baik untuk menewaskan Ecuador selepas tewas 2-0 kepada Belanda namun berjaya membenam Qatar 3-1 untuk berada di kedudukan ketiga dengan tiga mata dalam Kumpulan A.

"Kami perlu lebih tumpuan. Kami perlu menang untuk menghidupkan peluang layak dalam kelompok 16 terakhir," kata jurulatih Senegal, Aliou Cisse.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 8:45 PM