PEMAIN Sabah FC, Taiki Kagayama (kiri) mengawal bola ketika dicabar pemain Kuching City FC, Amir Amri Salleh ketika perlawanan kedua suku akhir kedua Piala Malaysia, sebelum ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
PEMAIN Sabah FC, Taiki Kagayama (kiri) mengawal bola ketika dicabar pemain Kuching City FC, Amir Amri Salleh ketika perlawanan kedua suku akhir kedua Piala Malaysia, sebelum ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengharapkan tonggak utam pasukan dapat diturunkan pada pertemuan pertama separuh akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), malam esok.

Beliau berkata, ketika ini sekurang-kurangnya lapan tonggak utama cedera, sekali gus agak 'pening' untuk membariskan pemain terbaik untuk berhadapan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu.

Menurutnya, jika tidak dapat menggunakan khidmat tonggak utama, barisan kejurulatihan terpaksa memikirkan alternatif lain dalam usaha memastikan pasukannya dapat memberikan saingan sengit sebelum bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim kelak.

"Saya perlu lihat barisan pemain dahulu kerana sekarang ini ada lapan tonggak utama mengalami kecederaan menyebabkan mereka tidak dapat diturunkan pada pertemuan menentang Kuching City FC baru-baru ini.

"Seperti sedia maklum, JDT adalah pasukan terbaik di negara ini dan berharap tonggak utama dapat diturunkan atau pastikan pemain sedia ada berada dalam keadaan bersedia," katanya.

Sabah yang menempah slot separuh akhir selepas menumpaskan Kuching City berhadapan cabaran lebih sukar apabila bertemu JDT.

Ini kerana, Sabah tumpas semua tiga pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan sebelum ini.

Kim Swee berkata, barisan anak buahnya tetap akan mempamerkan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri apabila menerima kunjungan JDT di Stadium Likas.

Katanya, dalam bola sepak, segalanya boleh berlaku dan mengharapkan Sabah mampu mencipta keputusan positif walaupun berhadapan dengan pasukan terbaik negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 2:30 PM