ANTARA aksi Sabah FC menentang Kelantan United. FOTO KL CIty
ANTARA aksi Sabah FC menentang Kelantan United. FOTO KL CIty
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC berjaya menempah tiket ke suku akhir Piala FA 2023 selepas mengalahkan Kelantan United FC 2 - 0 dalam perlawanan Pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Dua gol skuad Sang Badak itu masing-masing dijaringkan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 dan Stuart John Wilkin pada minit ke-58.

Gol Baddrol terhasil menerusi tandukannya selepas menerima hantaran rakan sepasukan, manakala jaringan Stuart disudahkan melalui sepakan leret ke arah sudut gawang Kelantan selepas menerima hantaran Kwang Ming Ko di kawasan petak penalti.

Selaku tuan rumah, Sabah tidak mensia-siakan bermain di hadapan penyokong sendiri dan memastikan Stadium Likas kekal sebagai kubu kuat mereka selepas ditinggalkan dalam tiga perlawanan Liga Super sebelum ini.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee kelihatan bekerja keras mahu mencipta kemenangan dan enggan memberi peluang kepada Kelantan untuk menakluki Stadium Likas.

Sepanjang babak pertama saja, sekurang-kurangnya tujuh cubaan berpotensi mencipta gol buat Sabah FC, namun nasib kurang baik hanya satu yang membuahkan hasil.

Kelantan pula hanya mendapat dua atau tiga cubaan sepanjang babak pertama, menyaksikan Sabah menguasai sepenuhnya perlawanan.

Tekanan terhadap pasukan pelawat semakin bertambah pada babak kedua yang menyaksikan pemain Sabah lebih aktif melakukan serangan demi serangan ke arah gawang Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 11:39 PM