SETIAUSAHA Agung Musa, Datuk Karim Yaacob.
SETIAUSAHA Agung Musa, Datuk Karim Yaacob.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Setiausaha Agung baharu Persatuan Bolasepak Melaka (Musa), Datuk Karim Yaacob akan memberikan perkhidmatan terbaik dalam merencana semula perkembangan pasukan selepas terlepas aksi di liga kompetitif, tahun depan.

Beliau yang pernah menerajui Persatuan Bolasepak Melaka United (MAFA) sebagai presiden dan pengurus Melaka pada musim 2005/2006 berkata, dia kembali dalam pengurusan bola sepak Melaka untuk memastikan ia kembali menyerlah.

Menurutnya, sokongan padu akan diberikan kepada Presiden Musa, Datuk Nur Azmi Ahmad yang berusaha gigih mengembalikan semula sentuhan pasukan berkenaan dengan nama baharu selepas Melaka United terkeluar dari saingan Liga Super 2023.

Katanya, sokongan ahli Gabungan Musa dalam Kongres Luar Biasa Musa, baru-baru ini membakar semangatnya untuk memastikan kebangkitan semula bola sepak Melaka selepas beliau dilantik menggantikan Ahmad Roslee Hamzah.

"Pasukan Melaka 2023 akan dibarisi anak tempatan, malah presiden Musa sudah menjelaskan kepada ahli gabungan mengenai perkara itu termasuk penjenamaan pasukan.

"Saya difahamkan pasukan ini akan dibimbing jurulatih tempatan atau pengendali dari luar negara. Apapun semuanya akan diputuskan oleh presiden dan mesyuarat kelak," katanya.

Sehubungan itu, Karim amat mengharapkan sokongan semua pihak dalam usaha kebangkitan semula pasukan terbabit di Liga Malaysia.

Menurutnya, persiapan teliti pasukan musim depan akan memberi nilai tambah kepada usaha memastikan skuad terbabit kembali dalam saingan liga utama di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 9:02 PM