ASRI ceria dengan hadiah kemenangan mencipta logo Melaka United FC. FOTO NAZRI ABU BAKAR
ASRI ceria dengan hadiah kemenangan mencipta logo Melaka United FC. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

PASUKAN bola sepak Melaka United bakal dikenali sebagai Melaka United Melaka United Football Club (MUFC) selepas penswastaan kelab sebagai syarat wajib bagi menyertai Liga Malaysia bermula musim 2021.

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, liga musim ini tahun terakhir skuad berkenaan diuruskan oleh persatuan terbabit sebelum diswastakan sebagai sebuah kelab bola sepak atau 'football club'.

Katanya, MUSA yang sebelum itu juga dikenali sebagai Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) yang menguruskan pasukan Hang Tuah dalam pelbagai peringkat saingan sejak di tubuhkan pada tahun 1924.

Menurutnya, nama Melaka United mula digunakan bermula musim 2014 dengan warna hijau dan putih turut diangkat sebagai warna rasmi pasukan.

"Namun, peranan persatuan berkenaan akan kekal sebagai badan pentadbir bola sepak negeri selepas penswastaan.

"Selaku Presiden MUSA saya mengharapkan penswastaan pasukan MUFC akan terus mencapai lebih banyak kejayaan, seterusnya membawa bola sepak Melaka ke tahap 20 lebih membanggakan sebagai antara kuasa besar bola sepak negara pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran logo baharu Melaka United FC yang direka sendiri oleh penyokong bola sepak Melaka yang menyertai pertandingan mencipta logo bermula 5 sehingga 20 Ogos 2020 yang lalu.

Majlis pelancaran disempurnakan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Penaung Bolasepak Melaka, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka yang juga Penasihat MUSA, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Lebih menarik lagi, Tun Ali turut pernah menerajui MAFA selaku Presiden ke-27 ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-9 sebelum ini.

Sementara itu katanya, dia akan berusaha untuk menyelesaikan isu kewangan MUSA ini dengan sebaik-baiknya, sekali gus memastikan masalah terbabit tidak berterusan sehingga menjejaskan prestasi pasukan berkenaan.

Pemenang pencipta logo diraih Mohd Asri Ab Aziz, 36 yang berasal dari Sungai Siput, Lubok Cina, Masjid Tanah yang turut membawa pulang wang tunai RM5,000 dan penginapan di De Mawardah Hotel Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 7:46 PM