KHAIRI (kiri) dan Karim (kanan) ketika meraikan penggiat bola sepak Melaka sempena 100 tahun penubuhan Mafa. FOTO NAZRI ABU BAKAR
KHAIRI (kiri) dan Karim (kanan) ketika meraikan penggiat bola sepak Melaka sempena 100 tahun penubuhan Mafa. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka (Mafa) meraikan beberapa kelab dan penggiat bola sepak yang masih aktif dalam saingan Liga Melaka sempena 100 tahun penubuhan persatuan terbabit.

Naib Presiden Mafa, Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, pendekatan itu sebagai motivasi kepada penggiat sukan untuk aktif menyumbang idea dan pengalaman dalam membangun bola sepak di negara ini.

Menurutnya, sokongan semua pihak dalam membentuk pemain terbaik negara amat dihargai sehingga Melaka melahirkan ramai bintang bola sepak Malaysia sejak 100 tahun penubuhannya.

"Mafa amat menghargai pembabitan penggiat sukan bola sepak yang masih aktif kerana peranan mereka turut menyumbang kepada kecemerlangan pemain yang akhirnya mampu mewakili negara.

"Antara bekas pemain pernah mewakili negara termasuk Shukor Adan, Mohd Noor Derus, Norizam Ali Hassan, Sapian dan Mazlan Wahid, Datuk Ong Kim Swee, Akop Itam, Ramli Junit dan ramai lagi yang pernah memeriahkan liga berkenaan.

"Liga Melaka yang dijadualkan bermula awal Julai membabitkan 10 pasukan iaitu slot Liga Komuniti kendalian bersama Liga Bolasepak Amatur (AFL) serta 12 pasukan bagi Divisyen 2 dan 10 pasukan (Divisyen 3)," katanya pada perasmian liga berkenaan di Stadium Hang Jebat, baru-baru ini.

Perasmian taklimat Liga Melaka 2024 disempurnakan Setiausaha Agung Mafa, Datuk Karim Yaakob.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 7:43 PM