KARIM mengakui Melaka ketandusan bakat yang menyumbang kepada kemeriahan Liga M serta skuad kebangsaan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
KARIM mengakui Melaka ketandusan bakat yang menyumbang kepada kemeriahan Liga M serta skuad kebangsaan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Pasukan bola sepak Melaka United perlu membina imej sendiri yang dibarisi anak jati Hang Tuah yang berjiwa kental tanpa perlu banyak bergantung pemain tempatan dari luar negeri itu dan import semata -mata.

Bekas presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) yang juga pengurus pasukan terbabit pada musim 2005/2006 Datuk Karim Yaakob berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini skuad terbabit tidak memiliki bakat besar yang menyerlah di Liga Malaysia.

Katanya, jika sebelum ini nama seperi Mazlan Wahid, dan Sapian Wahid, Shamsurin Abd Rahman Mohd Noor Derus, Halim Jantan, Leong Hong Seng, Rashid Mamud, Norizam Ali Hasan, Datuk Ong Kim Swee, Azizan Baba, Shukor Adan, Faderin Kadir dan Zainal Rabin sentiasa meniti di bibir peminat Hang Tuah.

Malah pada era 60-an sehingga 90-an nama Robert Chew, Datuk Soh Chin Aun, Ramli Junit, G Torairaju Rahim Abdullah, Lim Teong Kim, Lim Chuan Chin, Azmi Hasan, Akop Itam dan Allahyarham Jantan Ali antara nama yang mengisi persada bola sepak tanah air.

Menurutnya, namun kini Melaka ketandusan bakat yang menyumbang kepada kemeriahan Liga M serta skuad kebangsaan termasuk Chin Aun, Ramli dan Torairaju sekali gus hanya menaruh khidmat pemain tempatan dari luar Melaka serta import yang kurang bertaring.

"Sudah sampai masanya persatuan dan pengurusan pasukan terbabit memberi kepercayaan menyenaraikan pemain muda dalam kancah liga musim depan.

Ia disebabkan dengan barisan pemain yang memiliki reputasi tinggi dan import berjenama keputusan dan kedudukan pasukan juga masih kurang memberangsangkan justeru lebih baik muka baharu diberi ruang.

"Jika ubi muda diberi tugasan sudah pasti penyokong tidak menaruh harapan tinggi untuk keputusan luar biasa kerana ia memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun untuk memperoleh hasil pelaburan terbabit," katanya.

Karim berkata, pendekatan itu juga mengurangkan bajet pengurusan dalam masa sama menimba hasil menerusi projek pembangunan yang efektif untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, baginya kekurangan sambutan penyokong ke stadium juga antara faktor tiada anak Melaka dalam saingan selain pandemik Covid -19 ketika ini.

Justeru, usaha memenuhi sekurang-kurangnya 70 peratus anak jati dalam skuad itu harus diberi perhatian.

Malah, ia bukan setakat dalam senarai 30 senarai pemain sebaliknya juga dalam kesebelasan utama yang mampu menerbitkan minat penyokong tegar Melaka kembali ke stadium seperti ketika liga 1983.

Beliau berkata, sulaman import berkualiti juga amat diperlukan kerana prestasi mereka yang setaraf pemain tempatan jelas menyebabkan pasukan Melaka saban tahun hanya berada pada tahap yang mendukacitakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 4:55 PM