MOHAMAD Hazriq Fahimy (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali (tengah) dan bekas jurulatih skuad Kedah, Azraai Khor (kiri) semasa pelancaran hab penyokong Hijau Kuning House of Sang Kenari (HOSK), baru-baru ini. FOTO IZZALI ISMAIL
MOHAMAD Hazriq Fahimy (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali (tengah) dan bekas jurulatih skuad Kedah, Azraai Khor (kiri) semasa pelancaran hab penyokong Hijau Kuning House of Sang Kenari (HOSK), baru-baru ini. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemilihan ketua jurulatih baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk musim 2023 masih menjadi teka-teki dalam kalangan penyokong sejak Aidil Sharin Sahak mengundur diri pada 17 Oktober lalu.

Ini disusuli khabar angin mengatakan jurulatih berusia 44 tahun yang sedang membimbing Terengganu FC (TFC) sejak beberapa musim lalu iaitu Nafuzi Zain bakal mengemudi Sang Kenari pada musim depan.

Menurut Pengerusi Kelab Legasi Kedah (KLK), Mohamad Hazriq Fahimy Abdullah, spekulasi kehadiran Nafuzi bersama Kedah sememangnya satu berita yang dinantikan mereka.

Katanya, mereka teruja selepas jurulatih itu memacu TFC ke tahap tertinggi dengan muncul naib juara Piala FA dan naib juara Liga Super, sekali gus layak ke Piala AFC musim depan.

"Jika benar spekulasi bertiup kencang mengaitkan Nafuzi mengendalikan Kedah pada musim baru nanti, saya sebagai penyokong setia Kedah menyambut baik perkara ini dan mengalu-alukan kehadirannya.

"Walaupun sebahagian penyokong Kedah masih bersedih dengan ketiadaan Aidil Sharin bersama pasukan berikutan jasanya yang banyak, perjuangan untuk menyokong masa depan Kedah wajib diteruskan dengan semangat bersama.

"Kami sangat mengharapkan pihak pengurusan dapat memberikan kepercayaan penuh dan menyokong segala perancangan diatur sekiranya Nafuzi datang membimbing Kedah kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 6:11 PM