PEMAIN TFC menjalani latihan menjelang perlawanan dengan Sabah FC pada aksi Liga Super, Sabtu ini. FOTO ihsan TFC
PEMAIN TFC menjalani latihan menjelang perlawanan dengan Sabah FC pada aksi Liga Super, Sabtu ini. FOTO ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu yakin pihak pengurusan ada perancangan tersendiri bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ini berikutan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd masih 'membisu' berhubung status pengendali skuad itu, Nafuzi Zain.

Malah, kelab penyokong TFC percaya pihak pengurusan tidak akan buat kerja saat akhir terutama berhubung pengendali skuad Penyu itu sekiranya Nafuzi meninggalkan pasukan.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin meletakkan impian tinggi kepada pihak pengurusan TFC Sdn Bhd agar dapat mengikat jurulatih dan pemain yang berwibawa untuk memacu kejayaan pasukan pada musim depan.

"Kami percaya pihak pengurusan TFC Sdn Bhd sudah ada perancangan rapi dan lebih baik untuk memantapkan lagi pasukan musim depan walaupun sehingga kini masih merahsiakan status Nafuzi.

"Kami percaya pihak pengurusan ada bayangan pengganti Nafuzi jika jurulatih itu memilih untuk berhijrah bersama pasukan lain musim depan kerana sudah lumrah jurulatih dan pemain akan meninggalkan pasukan untuk mencuba angin baharu.

"Namun kami berharap pihak pengurusan melakukan yang terbaik terutama membabitkan pemilihan jurulatih dan pemain demi pasukan dan peminat setia yang tidak putus-putus menyokong skuad kesayangan mereka," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, selepas aksi menentang Penang FC pada 14 September lalu yang memihak kepada TFC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Nafuzi menyatakan tahun ini adalah musim terakhirnya membimbing TFC selepas tiga tahun bergelar ketua jurulatih skuad itu bermula 2020.

Dalam pada itu, TFC bakal bertemu Sri Pahang FC pada aksi persahabatan secara tertutup di SSMZA, Gong Badak, petang esok.

Aksi persahabatan itu sebagai sesi pemanas badan dan persediaan menjelang pertemuan dengan Sabah FC dalam aksi Liga Super pada 1 Oktober depan di SSMZA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 5:42 PM