NAFUZI ikat kontrak bersama KDA FC. FOTO Ihsan KDA FC
NAFUZI ikat kontrak bersama KDA FC. FOTO Ihsan KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar: Nama Nafuzi Zain yang sebelum ini disebut bakal mengendalikan Kedah Darul Aman FC menjadi kenyataan apabila beliau secara sah diumumkan oleh pihak pengurusan Sang Kenari sebagai ketua jurulatih skuad berkenaan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Pengumuman berkenaan dimuat naik dalam laman rasmi KDA FC pagi ini sekali gus memberi isyarat bahawa Sang Kenari mahu mengorak langkah mencipta era baharu bola sepak Kedah.

"Selamat kembali ke Kedah, era baharu bakal bermula, Berjuanglah sejiwa murni," katanya.

Sang Kenari juga melalui usaha pemilik utamanya Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar kini dilihat memiliki azam yang tinggi untuk kembali meletakkan nama KDA FC kembali ke era kegemilangan seperti yang pernah Kedah lalui melalui lagua tema 'Sang Kenari - New Journey New Path'.

Berdasarkan pengalaman, Nafuzi pernah bersama skuad Hijau Kuning satu ketika dahulu semasa zaman kegemilangan 'Double Treble' pada tahun 2007 di bawah kendalian Ketua Jurulatih Azraai Khor.

Sebagai jurulatih, beliau memiliki aura hebat dalam kancah Liga Malaysia dan sudah membuktikan sentuhannya apabila berjaya membawa Skuad Terengganu FC ke tahap tertinggi dengan pencapaian tempat kedua Liga Super musim ini yang membuka slot ke saingan Piala AFC musim depan selain ke pentas akhir Piala FA edisi ke-32 pada September lalu.

KDA FC dilihat optimis dengan pemilihan ketua jurulatih ini bagi menggantikan Aidil Sharin Sahak yang bersama Sang Kenari sejak 2019 berdasarkan pencapaian yang telah dilakar Nafuzi bersama skuad TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 1:33 PM