AIDIL Sharin Sahak. FOTO NSTP
AIDIL Sharin Sahak. FOTO NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd mengesahkan jurulatih, Aidil Sharin Sahak tiada dalam perancangan pasukan itu buat masa ini sambil menyangkal dakwaan pihak pengurusan kelab itu bakal 'merantai' jurulatih kelahiran Singapura itu.

Malah pihak pengurusan kelab itu juga tidak pernah berbincang dengan bekas jurulatih pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) musim lalu itu untuk menggantikan jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner dalam baki saingan Liga Malaysia (Liga M) selain Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini.

Situasi itu dijelaskan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh yang memaklumkan perkhabaran itu adalah tidak betul selain tidak ada desas-desus untuk mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman itu bagi membimbing skuad Terengganu FC (TFC) buat masa ini.

"Setakat ini pihak kami tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan pun dengan jurulatih itu (Aidil Sharin) untuk membimbing skuad TFC.

"Malah tiadapun desas-desus yang mengaitkan jurulatih itu bakal menggantikan tempat jurulatih sekarang (Tomislav Steinbruckner).

"Dakwaan yang mengaitkan jurulatih itu bakal melatih pasukan TFC oleh sesetengah pihak adalah tidak betul selain mengharapkan pihak tertentu tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat kerana ia sedikit sebanyak boleh mengganggu persediaan pasukan dan hubungan dalam kelab," katanya ketika dihubungi.

Semalam portal ini melaporkan Aidil Sharin bakal kembali mewarnai Liga M selepas mengakui menerima tawaran daripada dua kelab Liga Super dari Pantai Timur termasuk sebuah kelab besar yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi memulihkan prestasi kelab berkenaan.

Bagaimanapun bekas 'arkitek' kelab Home United dalam Liga Singapura itu menjelaskan perbincangannya dengan kelab berkenaan masih tergantung dan belum ada kata putus selain tiada sebarang surat tawaran setakat ini.

Semalam pihak pengurusan TFC Sdn Bhd mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan kelab itu bakal menggantikan Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil 'Tommy' dengan jurulatih baharu kerana urusan pertukaran itu bukan perkara mudah sebaliknya perlu dikaji dengan terperinci oleh Jawatankuasa Teknikal TFC.

Terdahulu timbul desas-desus Steinbrukner bakal digantikan dengan jurulatih lain berikutan prestasi tidak konsisten skuad Penyu itu yang kini menghuni di pertengahan liga iaitu di posisi kelapan dengan hanya mengutip 13 mata selepas sepuluh perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 3:12 PM