REAKSI geram  Richarlison (kanan) selepas pisang dilontar ke arahnya di  Parc des Princes,  Paris. FOTO AFP
REAKSI geram Richarlison (kanan) selepas pisang dilontar ke arahnya di Parc des Princes, Paris. FOTO AFP
AFP

Paris: Richarlison menjadi sasaran penyokong yang membaling pisang ke arahnya ketika Brazil membelasahTunisia 5-1 dalam aksi persahabatan di Paris manakala Neymar semakin hampir dengan rekod sepanjang zaman milik Pele.

Perlawanan di Parc des Princes turut terhenti seketika pada babak pertama apabila penonton diingatkan tidak menghalakan pen laser ke arah pemain Brazil.

"Malangnya...pisang dilontarkan ke arah Richarlison, penjaring gol kedua Brazil," kata Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) di Twitter.

"CBF menentang keras unsur rasis dan tidak dapat menerima sebarang tindakan prejudis."

Selecao mempamerkan ketajaman sentuhan penyudah pada babak pertama dalam aksi terakhir mereka menjelang Piala Dunia di Qatar.

Raphinha meledak dua kali dan Neymar kini hanya dua gol lagi menyamai rekod Pele manakala Richarlison turut menembusi gawang Tunisia sebelum Pedro melengkapkan kemenangan bergaya Brazil pada babak kedua.

"Memalukan, sukar diterima melihat insiden ini," kata kapten Brazil, Thiago Silva yang pasukannya bergambar sebelum perlawanan bersama sepanduk bermesej anti perkauman.

"Malang sekali kami gagal ubah mentaliti orang ramai. Saya harap mereka menyedari keburukan tindakan mereka. Mereka perlu berubah."

Brazil akan menentang Serbia dalam aksi pertama Kumpulan G pada 24 November dengan rekod 15 perlawanan tanpa kalah sejak tewas kepada Argentina pada final Copa America tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 8:26 AM