BRAZIL dilihat kurang mengancam ketika saingan kelayakan Piala Dunia 2026. FOTO AFP
BRAZIL dilihat kurang mengancam ketika saingan kelayakan Piala Dunia 2026. FOTO AFP
AFP

Sao Paulo: Pele 'akan berasa sedih' dengan keadaan pasukan kebangsaan Brazil sekarang, anaknya Edinho memberitahu AFP dalam temu bual beberapa hari sebelum ulang tahun pertama kematian bapanya.

Brazil bergelut dalam kelayakan ke Piala Dunia 2026 dan kini menduduki tempat keenam dalam carta zon Amerika Selatan, tempat terakhir yang membolehkan kelayakan automatik.

Selecao bergelut tanpa bintang sensasi mereka, Neymar, yang berehat akibat kecederaan jangka panjang selepas koyak ligamen lutut.

"Krisis ini tidak muncul dalam sekelip mata, terdapat masalah besar dan kompleks," kata Edinho, 53, yang juga salah seorang daripada tujuh orang anak Pele.

"Kami mengalami kemerosotan... kami masih mempunyai pemain yang hebat tetapi sebelum ini kami mempunyai lebih ramai pemain peringkat tinggi berbanding hari ini."

Edinho, yang dibesarkan oleh ibunya selepas Pele berpindah ke New York apabila dia menandatangani kontrak dengan New York Cosmos pada 1975.

"Tidak ada keraguan, jika (Pele) berada di sana tahun ini, dia pasti sangat sedih."

Santos, kelab Brazil di mana Pele menghabiskan sebahagian besar kariernya, juga melalui tempoh yang sukar selepas mereka tersingkir ke divisyen dua buat kali pertama dalam sejarah 111 tahun.

Kelab itu dilanda masalah kewangan dan keretakan bilik lembaga pengarah.

"Malangnya ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Sesiapa sahaja yang mengikuti kehidupan harian kelab boleh menjangkakan senario seperti itu, dan ia akhirnya berlaku," kata Edinho, yang juga penjaga gol Santos selama beberapa musim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 1:44 PM