NEYMAR alami kecederaan paha.
NEYMAR alami kecederaan paha.
AFP

Sao Paulo: Penyerang Brazil, Neymar tersisih daripada aksi kelayakan Piala Dunia menentang musuh tradisi Argentina akibat kecederaan paha, menurut Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) hari ini.

Bintang Paris Saint-Germain itu beraksi 90 minit dan membantu Lucas Paqueta meledak gol kemenangan ke atas Colombia semalam untuk menempah tiket ke kejohanan 2022 di Qatar.

Tetapi dia tidak akan berdepan Argentina yang turut akan mara jika menewaskan Brazil pagi esok.

"Selepas sesi latihan pagi ini, Neymar mengadu kesakitan pada pahanya," kata CBF.

"Oleh kerana tidak dapat membuat ujian lanjut, kami membuat keputusan merehatkan dia dan tidak akan bersama skuad ke San Juan."

PSG berharap Neymar yang berusia 29 tahun cergas untuk kunjungan ke Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara minggu depan.

Neymar meledak 70 gol antarabangsa, kurang tujuh di belakang penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil, Pele.

Semalam, jurulatih Argentina, Lionel Scaloni berkata rakan sekelab Neymar, Lionel Messi yang hanya beraksi 15 minit ketika menewaskan Uruguay 1-0 bakal diturunkan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 8:36 AM