AKSI antara JDT dan PJ City semalam yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2. FOTO Bernama
AKSI antara JDT dan PJ City semalam yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Elemen bersatu-padu disamping aksi tangkas penjaga gol membuahkan hasil buat Petaling Jaya City FC (PJ City) apabila mengejutkan juara lapan kali Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan mengikat pasukan itu 2-2, malam tadi.

Kejayaan mengutip satu mata di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu bukan mudah apatah lagi skuad Harimau Selatan itu masih segar dengan kemenangan menjuarai Piala FA ke atas Terengganu FC, Sabtu lalu.

Jelas pengendali PJ City, P Maniam, beliau gembira dengan prestasi anak buahnya yang tidak memberi laluan mudah kepada JDT.

Katanya, semangat kekeluargaan cukup tebal dikalangan pemain untuk menghentikan kemenangan lawan, selain ketangkasan Kalamullah Al-Hafiz di depan gawang turut menyumbang kepada keputusan itu.

"Pemain beraksi dengan begitu semangat menunjukkan karektor yang bagus, inilah apa yang kita mahukan dan kita selalu beritahu pemain, bahawa kita kena bermain dengan united dan saya lihat ia membuahkan hasil.

"Semua pemain termasuk pemain simpanan yang dimasukkan pun bagi 100 peratus, menunjukkan satu karektor yang bagus dan inilah yang kita mahukan.

"Kalamullah beraksi cemerlang dalam beberapa aksi ini termasuk tidak dibolosi dalam dua perlawanan sebelum ini. Dia berusaha untuk memastikan tidak dibolosi namun berdepan JDT bukan mudah," katanya sejurus tamat aksi itu.

Dua gol PJ City diraih menerusi Darren Lok di minit 73 dan R Kogileswaran di minit terakhir perlawanan, sementara JDT meledak hasil sepakan Bergson da Silva minit 48 dan Akhyar Rashid minit 86.

"Sebenarnya kami tidak jangka boleh seri, semua pemain menunjukkan karakter dan sikap yang bagus.

"Sudah pasti sebagai jurulatih saya sangat gembira dan saya harap pengurusan juga gembira sebab arahan pengurusan mahu kami pungut tiga mata kerana mereka percaya dengan keajaiban.

"Namun, ia tetap menjadi satu kejutan kepada kami dengan mendapat satu mata," katanya yang mengakui terkejut dengan keputusan seri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 4:53 PM