BERGSON (tengah) dikawal dua pemain PJ City FC. FOTO ihsan JOHOR SOUTHERN TIGERS
BERGSON (tengah) dikawal dua pemain PJ City FC. FOTO ihsan JOHOR SOUTHERN TIGERS
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan apabila melangkah ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 6-0 selepas menewaskan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 2-0 pada aksi kedua pusingan 16 pasukan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Pada aksi pertama, skuad kendalian Hector Bidoglio menjinakkan PJ City FC 4-0 dan kemenangan aksi kedua itu membolehkan naib juara piala berprestij musim lalu itu bertemu Kelantan FC di suku akhir selepas pasukan dari pantai timur itu menewaskan Sarawak United FC.

Dalam perlawanan itu, pengendali kelahiran Argentina itu menurunkan barisan kedua pasukan dan menyaksikan kelibat Jordi Amat tampil buat pertama kali dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kehadiran semula Bergson Da Silva dalam kesebelasan utama nyata membuahkan hasil pada minit ketiga apabila dia melepaskan rembatan kencang dari jarak 30 meter hasil umpanan Shio Hong ke penjuru kiri gol sehingga Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi terpaku melihat bola menerjah jaring.

Selepas jaringan awal itu, anak didik P Maniam berusaha untuk merobohkan benteng JDT yang dikawal rapi gandingan Jordi bersama Shahrul Saad dan Feroz Baharudin sehingga membuat barisan serangan The Phoenix buntu.

Walaupun selesa dengan agregat 5-0, anak didik Bidoglio terus bernafsu memburu jaringan, namun corak permainan kompak PJ City FC di posisi pertahanan memaksa beberapa percubaan dari luar kotak terpaksa dilakukan.

Tuan rumah menghukum pasukan pelawat pada minit ke-72 selepas gerakan menarik satu dua antara pemain gantian Fernando Forestier bersama Bergson menyaksikan pemain import dari Argentina itu mudah menolak bola menewaskan Kalamullah dan jaringan 2-0 yang memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 10:16 PM