DECLAN (kanan) pernah beraksi bersama skuad negara di Piala Raja Thai 2022.
DECLAN (kanan) pernah beraksi bersama skuad negara di Piala Raja Thai 2022.
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Tonggak pertahanan negara, Declan Lambert gembira kembali ke pangkuan skuad Harimau Malaya selepas dua tahun tersisih.

Declan, 25, yang berdarah kacukan England-Malaysia pernah memperkuatkan pasukan kendalian Kim Pan-gon pada aksi Piala Raja Thai 2022 lalu.

"Sudah agak lama, saya sangat gembira dapat kembali ke sini, dua tahun sudah agak lama.

"Saya masih rasa, ia masih sama dan senarai panggilan kali ini juga bagus dan sangat profesional.

"Ada beberapa pemain baharu tetapi pemain teras adalah sama, saya fikir ia pasukan dan persekitaran yang lebih baik di sini," kata pemain Kuala Lumpur City itu ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Pasukan negara ketika ini dalam persiapan menghadapi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, masing-masing pada 6 dan 11 Jun ini.

Jelas pasangan kembar kepada Ryan Lambert itu lagi, rata-rata pemain yang dikumpulkan mempunyai kualiti tersendiri.

"Ia sukar kerana saya tahu mereka pemain berkualiti di sini, saya berlatih dengan mereka dan mereka benar-benar bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 9:25 PM