PEMAIN import dari Indonesia, Saddil Ramdani menjaringkan gol penyamaan buat Sabah FC ketika seri 1-1 dengan Selangor FC, malam tadi. FOTO ASYRAF HAMZAH
PEMAIN import dari Indonesia, Saddil Ramdani menjaringkan gol penyamaan buat Sabah FC ketika seri 1-1 dengan Selangor FC, malam tadi. FOTO ASYRAF HAMZAH
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui anak buahnya mempunyai kekuatan karektor apabila bangkit mengikat kedudukan 1-1 dengan Selangor FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Beliau berkata, kekuatan karektor itu penting bagi memastikan mereka kekal bersaing di kelompok teratas Liga Super musim ini dan kekal mengekori pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) di puncak liga.

Malah, sebelum ini, sudah beberapa kali Sabah FC bangkit daripada ketinggalan sebelum menang ke atas lawan.

"Ia (pemain) tunjukkan karektor, kita tahu setiap kali bermain, kita mendahului dan akhirnya kita menang.

"Hari ini (malam tadi) selepas kita dibolosi, pemain tunjukkan karektor yang baik dan saya perlu buat mereka percaya, kita boleh harungi mana-mana aksi jika dapat tunjukkan karektor dan beraksi sebagai satu pasukan," kata bekas jurulatih skuad kebangsaan itu.

Sabah yang kini menghuni tangga kedua liga di belakang JDT, dikejutkan gol awal tuan rumah menerusi Herlison Caion pada minit ketiga.

Namun usaha tidak berputus asa anak buah Kim Swee akhirnya membuahkan hasil apabila tonggak import dari Indonesia, Saddil Ramdani meledak gol penyamaan di babak kedua untuk mengikat keputusan 1-1.

Jelas jurulatih yang berasal dari Melaka itu, perjalanan Sabah masih jauh dan beliau mahu barisan pemain terus mengekalkan konsistensi sehingga hujung musim.

"Pemain diingatkan supaya tidak mudah berasa selesa biarpun kini berada di kelompok atasan liga musim ini.

"Ia tentu ada peningkatan dari hari pertama mereka bersama...tapi bagi saya, masih lagi terlalu awal belum habis pusingan pertama liga.

Kita tak boleh berasa selesa kerana ini akan memudaratkan pasukan, sebaliknya kita perlu kekal konsisten dan pada masa sama, memperbaiki lagi kekurangan seperti hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 5:07 PM