PENYERANG JDT, Bergson Da Silva (tengah) menjaringkan dua gol untuk membolehkan pasukannya menewaskan PJ City FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
PENYERANG JDT, Bergson Da Silva (tengah) menjaringkan dua gol untuk membolehkan pasukannya menewaskan PJ City FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus gah di puncak liga selepas membelasah Petaling Jaya City FC (PJ City FC), 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Kemenangan itu memastikan JDT mengumpul 22 mata hasil tujuh kemenangan dan satu keputusan seri, sekali gus menjarakkan mata dengan pencabar terdekat, Negeri Sembilan FC dan Sabah FC.

Pengendali JDT, Benjamin Mora mengekalkan kesebelasan sama ketika meratah Selangor FC 5-1 pada aksi Jumaat lalu dan mereka menguasai permainan sebaik aksi bermula.

Percubaan pertama skuad Harimau Selatan hadir seawal minit kelima apabila Bergson Da Silva melakukan rembatan dari luar kotak penalti, tetapi penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi sempat merebahkan badan untuk menepis bola keluar.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-22 apabila lorongan Leandro Velazquez membolehkan Bergson memusingkan badan sebelum merembat kencang dari luar kotak penalti menewaskan Kalamullah Al Hafiz.

Pada minit ke-25, tuan rumah mendahului 2-0 jaringan apabila bola sepakan percuma Fernando Forestieri menuju ke penjuru kiri gawang dan sekali lagi menewaskan Kalamullah.

Serangan bertali arus tuan rumah pada babak kedua menghasilkan gol ketiga pada minit ke-66 menerusi rembatan Bergson.

Kesilapan pemain PJ City FC menolak bola ke belakang pada minit ke-86 membolehkan Bergson merampas bola dan mengumpan kepada Forestieri yang tidak dikawal untuk menolak bola menewaskan Kalamullah buat kali keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 11:14 PM