Pemain JDT, Bergson Da Silva menjaringkan gol menentang PJ City dalam saingan Liga Super. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Pemain JDT, Bergson Da Silva menjaringkan gol menentang PJ City dalam saingan Liga Super. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus gah di persada liga selepas mudah membenam Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga memastikan skuad Harimau Selatan mengumpul 20 mata selepas melakar enam kemenangan dan dua keputusan seri membolehkan pasukan itu menjarakkan empat mata dengan pencabar terdekat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang dimalukan Terengganu FC (TFC) 1-2 pada aksi di Stadium Darul Aman, semalam.

Skuad kendalian Benjamin Mora melakukan rombakan kecil di benteng pertahanan selepas Mauricio Nascimento diketepikan akibat penggantungan satu perlawanan kerana menerima tiga kad kuning menyaksikan Aidil Zafuan Abd Radzak bergandingan bersama Adam Nor Azlin di posisi itu.

Kesungguhan tuan rumah memburu kemenangan pada perlawanan itu bermula seawal minit kedua apabila bola sepakan lintang Ariffv Aiman Mohd Hanafi membolehkan Gonzalo Cabrera yang tidak dikawal menanduk kemas bola menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang sekadar melihat bola menerjah jaring.

JDT menambah jaringan selepas benteng pelawat gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada minit ke-20 untuk membolehkan Bergson Da Silva merampas bola sebelum merembat bola leret di luar kotak penalti tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.

JDT menambah derita PJ City FC apabila Bergson mencetak gol kedua peribadi pada minit ke -30 selepas gerakan menarik dilakukan Cabrera yang mengumpan tepat kepada pemain dari Brazil itu sebelum merembat bola leret menewaskan Kalamullah.

Bergson yang berada di tahap permainan memuaskan dalam perlawanan itu hampir mencipta jaringan hatrik pada minit ke-57 selepas bertindak merembat bola dari jarak 30 meter tepat ke gawang gol pelawat tapi Kalamullah sempat melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan malah turut mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi aksi kelapan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 11:02 PM