HASSAN Sazali Waras. FOTO Agensi
HASSAN Sazali Waras. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Di atas kertas nyata skuad bawah 19 (B-19) tahun negara dianggap pilihan untuk melakar kemenangan ke atas Mongolia dalam aksi pertama Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-20 di Stadium MFF, Ulaanbaatar, di Mongolia petang esok.

Ia berdasarkan rekod pertemuan dengan pasukan dari Asia Timur itu sering memihak skuad negara termasuk kejayaan skuad B-22 tahun menundukkan Mongolia 1-0 dalam pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium MFF, pada tahun lalu.

Malah, skuad senior negara juga sering mencatatkan kemenangan ke atas negara itu dengan kali terakhir bertemu pada 2018, di mana skuad Harimau Malaya membenam lawan dengan 2-0 dalam aksi persahabatan di Bukit Jalil.

Begitupun, pengendali skuad B-19 negara, Hassan Sazali Waras mahu pemainnya tidak mudah mendabik dada dan sebaliknya berhati-hati dengan kejutan yang boleh berlaku dalam aksi pertama itu nanti.

Katanya, kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri mungkin memberi kelebihan buat Mongolia yang turut mengidamkan tiga mata penuh.

"Bagi perlawanan bertemu Mongolia amat penting untuk mencari tiga mata penuh, bagi memudahkan pasukan ke perlawanan berikutnya bagi melayakkan pasukan ke pusingan akhir kelak.

"Tetapi kita harus berhati-hati dengan pasukan ini kerana mereka juga mempunyai misi yang sama seperti kita, di mana mereka mempunyai kelebihan dari segi bermain di tempat sendiri," katanya ketika dihubungi Arena Metro dari sini.

Selain Mongolia, dua lagi pasukan iaitu Sri Lanka dan gergasi Asia, Korea Selatan turut menghuni Kumpulan E, dengan hanya juara akan layak ke Piala Asia di Uzbekistan tahun depan.

Lima naib juara terbaik daripada 10 kumpulan turut berpeluang mara ke pusingan akhir itu nanti.

Hassan, 56, yang membawa pasukan menjuarai Piala AFF B-19 sebelum ini mengakui anak didiknya perlu segera menyesuaikan diri selepas hanya sempat menjalani satu sesi latihan hari ini sejak tiba di Ulaanbaatar, pada malam tadi.

"Saya harap pemain-pemain dapat mengadaptasi dengan keadaan cuaca di paras tinggi di sini dengan cepat serta kesesuaian padang di sini.

"Alhamdulillah keadaan cuacanya tidak terlalu sejuk seperti yang dijangkakan, sekitar 16 darjah celsius sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 5:55 PM