SKUAD bawah 23 (B-23). -FOTO Facebook FAM
SKUAD bawah 23 (B-23). -FOTO Facebook FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara kembali menghangatkan pentas tertinggi Asia apabila pasukan muda negara itu layak secara automatik ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan, dari 1-19 Jun tahun depan.

Kejayaan layak secara merit itu adalah hasil dari kejayaan muncul juara Kumpulan J pada kempen kelayakan yang berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia selepas mengumpul tujuh mata daripada tiga aksi.

Keputusan seri tanpa jaringan dengan Thailand di Stadium MFF, Ulaanbaatar hari ini mengesahkan kedudukan skuad negara di tangga teratas sekali gus mengulangi pencapaian skuad 2018 lalu yang berjaya layak ke pusingan akhir di China.

Thailand yang turun dengan misi wajib menang terpaksa akur menamatkan kempen kelayakan di belakang Malaysia dan anak didik Worrawoot Srimaka gagal ke peringkat seterusnya.

Skuad negara kendalian Brad Maloney yang hanya memerlukan keputusan seri menguasai sebahagian besar perlawanan dengan skuad muda Gajah Perang lebih banyak bertahan.

Begitupun ketumpulan jentera serangan menyaksikan pasukan muda negara gagal meraih sebarang gol dalam 45 minit babak pertama.

Peluang paling hampir untuk memecah kebuntuan adalah menerusi sepakan percuma ketua pasukan Muhammad Mukhairi Ajmal yang sedikit tersasar di minit ke-30.

Malah Azhad Harraz Arman turut memiliki peluang namun percubaannya di minit ke-37 tidak tepat ke sasaran.

Bagi menambah sengat pasukan, Maloney terpaksa mengeluarkan Harraz dengan memasukkan Mohd Aiman Afif pada awal separuh masa kedua.

Malaysia seharusnya sudah mendahului di minit 63 namun palang menjadi pemisah apabila tandukan pemain pertahanan negara, Harith Haiqal Adam terkena palang yang berpunca dari sepakan sudut Mukhairi.

Menuju penghujung perlawanan menyaksikan Thailand meraih beberapa peluang namun mujur penjaga gol, Azri Ghani berjaya menghalang untuk memastikan tiket Piala Asia dalam genggaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 1:36 PM