SKUAD B-23 gigih menjalani latihan hari ini. FOTO FAM
SKUAD B-23 gigih menjalani latihan hari ini. FOTO FAM
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Beraksi di atas padang rumput tiruan di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia bukan mudah meskipun rangka persiapan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara sebelum ini juga di padang jenis sama di Subang Jaya.

Pengendali B-23 tahun negara, Brad Maloney berkata, kelajuan bola serta lantunan yang sukar dibaca sedikit sebanyak menjejaskan rentak pasukan negara ketika menentang Laos dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia B-23 semalam.

Katanya, anak buahnya perlu segera menyesuaikan diri dengan permukaan padang sebegitu, di mana baki dua aksi Kumpulan J iaitu bertemu Mongolia dan Thailand dijangka lebih sengit.

"Mereka (Mongolia dan Thailand) lawan sukar dan kompetitif selain memiliki kelebihan fizikal yang baik. Permukaan padang yang laju dan ia sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada permainan dan keputusan perlawanan.

"Bagi saya, dua perlawanan berikutnya bukan mudah dan kita perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan," katanya menjelang aksi kedua menentang Mongolia Khamis ini.

Pada aksi pertama, skuad negara dipaksa 'bermandi peluh' sebelum berjaya melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Laos yang mengamalkan corak permainan bertahan sepanjang 90 minit aksi itu.

Menerusi kejayaan meraih tiga mata itu, Malaysia kini memimpin carta Kumpulan J di tangga teratas selepas satu lagi aksi membabitkan Mongolia dan Thailand berkesudahan terikat 1-1.

"Sudah tentu ia bagus untuk mendapatkan tiga mata penuh dan ia perlawanan yang sangat mencabar dengan Laos. Saya gembira atas keputusan positif ini dan kredit buat semua pemain atas usaha mereka.

"Kami masih mempunyai dua perlawanan lagi, jadi penting untuk kekal fokus dan terus meningkat," kata Maloney yang pernah membawa skuad B-18 negara muncul naib juara Piala AFF pada 2018 dengan beliau mengekalkan majoriti muka sama di Mongolia kali ini.

Untuk rekod, juara dan empat naib juara terbaik daripada 11 kumpulan layak ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 10:56 PM