MALONEY (dua dari kiri) berkata pendekatan sama akan dikekalkan seperti mana yang diperagakan anak didiknya ketika membenam Laos dan Mongolia. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
MALONEY (dua dari kiri) berkata pendekatan sama akan dikekalkan seperti mana yang diperagakan anak didiknya ketika membenam Laos dan Mongolia. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Keputusan seri bukanlah misi utama skuad bawah 23 (B-23) tahun negara apabila turun berdepan jaguh Asia Tenggara, Thailand pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium MFF, Ulaanbaatar di Mongolia, esok.

Malaysia yang hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan status selaku juara Kumpulan J sebaliknya tetap akan memburu tiga mata maksimum sekali gus mengekalkan rekod bersih selepas membenam Laos dan Mongolia dengan 1-0 sebelum ini.

Pengendali pasukan, Brad Maloney berkata, beliau tidak bercadang untuk menukar apa-apa sasaran dengan objektif setiap perlawanan dalam kempen kelayakan itu adalah memburu kemenangan.

Katanya, pendekatan sama akan dikekalkan seperti mana yang diperagakan anak didiknya ketika membenam Laos dan Mongolia.

"Pendekatan kita untuk perlawanan tidak berubah dan apa yang kita sudah lakukan dalam dua aksi terdahulu dengan mencapai sasaran, jadi tidak perlu menukar terlalu banyak dan pendekatan kita tetap sama dalam aksi terakhir nanti," katanya pada sesi terakhir pasukan hari ini.

Ketika ini, Thailand terdesak untuk mencari kemenangan dan jika mereka mampu menewaskan Malaysia bermakna skuad muda Gajah Perang itu akan memintas skuad Harimau Muda dengan mengumpul tujuh mata dari tiga aksi.

Bagaimanapun, peluang lebih cerah buat skuad kendalian Maloney yang ketika ini meraih enam mata dan pasukan negara hanya memerlukan keputusan seri untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan, tahun depan.

Mengulas mengenai pertemuan itu nanti, Maloney yang berasal dari Australia mengakui satu pertembungan menarik bakal disajikan kedua-dua pasukan.

"Thailand sebuah pasukan yang bagus dan sebelum kelayakan juga mereka adalah pasukan pilihan dari kumpulan ini dan kami amat menghormati mereka.

"Namun untuk aksi nanti, kami tetap akan turun dengan 'senjata' tersendiri dan saya jangkakan ia satu aksi yang kompetitif," katanya yang pernah membawa skuad B-19 negara muncul naib juara Piala AFF pada 2019 lalu selepas tewas 0-1 kepada Australia di pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 7:02 PM