PEMAIN Melaka United meraikan kejayaan. FOTO FAM
PEMAIN Melaka United meraikan kejayaan. FOTO FAM
Nazri Abu Bakar


Melaka: Fokus sepenuhnya bagi memastikan gawang tidak bocor dan pada masa sama meledak jaringan menjadi kunci kejayaan pasukan bola sepak wanita Melaka United (MU) menjuarai Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2022 dengan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 pada aksi final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Lebih bermakna mereka berjaya mempertahankan kejuaraan dimenangi sebelum ini sekali gus memenuhi impian untuk mengekalkan piala terbabit di bumi Hang Tuah.

Pengurus pasukan MU, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata, saingan final amat mendebarkan kerana pertarungan berlanjutan ke masa tambahan namun jaringan Fatin Shahida Azmi pada minit-ke-115 melengkapkan misi pasukan.

Katanya, bukan mudah mempertahankan kejuaraan berbanding menjulang piala tanpa status juara kerana setiap lawan memberi fokus tinggi untuk menewaskan Melaka.

Malah pasukan terbabit tewas pada aksi pembukaan di tangan Sabah namun bangkit pada dua aksi kumpulan A untuk bergelar naib juara dan melepasi halangan Selangor di separuh akhir.

Menurutnya, kekalahan kepada Sabah meletakkan pemain bingkas bangkit dengan menjadikan ia sebagai pengajaran untuk mara ke separuh akhir dan seterusnya menjulang kejuaraan.

"Kemenangan ini amat manis sekali gus sebagai hadiah pertama kepada Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) yang baharu Datuk Wira Nor Azmi Ahmad.

"Apa yang menarik MUSA merancang untuk menganjurkan dua kejohanan bola sepak wanita pada 2023 dalam memperkasa pasukan berkenaan," katanya.

Baginya, usaha terbabit antara langkah MUSA memastikan kejuaraan mampu terus menjadi milik pasukan selain melahirkan bakat baharu dalam pasukan wanita.

Beliau berkata, pada dasarnya MUSA memiliki ramai pemain muda berbakat yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi termasuk mewakili negara pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 2:54 PM