NURUL Azurin dan rakan sepasukan ketika menjalani latihan baru-baru ini.
NURUL Azurin dan rakan sepasukan ketika menjalani latihan baru-baru ini.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Ketangkasan penjaga gol skuad bola sepak wanita kebangsaan Nurul Azurin Mazlan menjadi taruhan Melaka United pada saingan Piala Tun Sharifah Rodziah musim ini.

Jurulatih penjaga gol, Zulkapri Harun berkata, Nurul Azurin kekal cemerlang selepas menjalani latihan kira-kira sebulan di Melaka sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) dan turut membantu pasukan menewaskan veteran Arena FM dalam aksi persahabatan.

Katanya, menerusi reputasi hebat yang beberapa kali diiktiraf pemain wanita terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan, sudah pasti menjadi pilihan utama untuk mempertahankan kubu pasukan pada saingan kali ini.

Walaupun kejohanan ditangguhkan dia masih yakin situasi terbabit tidak menjejaskan prestasi pemain itu selepas kembali diadakan kelak.

NURUL Azurin cemerlang bersama Melaka United.
NURUL Azurin cemerlang bersama Melaka United.

"Lebih menarik selain Nurul Azurin, Melaka memiliki penjaga gol kedua kebangsaan, Olivia Olga Sabrinus yang menjadi 'sparring partner' sepanjang sesi latihan.

"Perebutan tempat yang sihat ini pastinya memberi impak terhadap kemantapan barisan pertahanan dan kubu pasukan dalam saingan itu sebenar ,"katanya.

Zulkapri berkata, pada keseluruhan pasukan sudah mantap ketika sepanjang latihan, namun dia masih berkeyakinan momentum yang dimiliki selepas kejohanan ditangguhkan masih mampu dibentuk sebaik PKP berakhir kelak.

Beliau berkata, sasaran kali ini pastinya mengekalkan kejuaraaan 2019 selepas tiada saingan 2020 susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia.

Baginya, dia yakin sasaran terbabit mampu direalisasikan selepas Melaka memiliki sembilan pemain kebangsaan dan sekurang-kurangnya enam pemain bawah 19 tahun negara bagi saingan musim ini.

Kejayaan pada 2020 terbabit jelas menebus kekalahan final 2018 selepas menewaskan Kedah menerusi penentuan penalti di Stadium Shah Alam.

Malah Nurul Azurin menjadi wira skuad Hang Tuah selepas berjaya menyelamatkan dua penalti seterusnya membolehkan skuad terbabit muncul juara buat pertama kali dalam sejarah.

Menurutnya, gabungan pengurus pasukan, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah bersama jurulatih, S Ganesan Pillay dan pembantunya, Angela Kais, pegawai pasukan dan pemain bakal mengulangi kejayaan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 5:50 PM