Skuad bola sepak Kedah kini memerlukan tajaan dan dana untuk saingan Piala Tun Sharifah Rodziah 2021.
Skuad bola sepak Kedah kini memerlukan tajaan dan dana untuk saingan Piala Tun Sharifah Rodziah 2021.
Izzali Ismail


Alor Setar: Skuad Bola Sepak Wanita Kedah mungkin terpaksa melalui jalan berliku jika terpaksa melangkah ke pertandingan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2021 secara 'persendirian' tanpa kelolaan dari Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada musim ini.

Lebih memeranjatkan skuad yang dikenali sebagai The Red E Girl itu terpaksa meminta pertolongan pihak penaja luar secara bersendirian bagi menampung keperluan skuad berkenaan untuk meneruskan rentak kejayaan yang dicapai sekian musim.

Bekas jurulatih pasukan bola sepak Kedah, Azraai Khor Abdullah berkata, jika benar skuad wanita Kedah kini perlu bergerak sendirian tanpa KFA, perkara ini begitu memeranjatkan dan bakal memberi imej negatif untuk perkembangan bola sepak wanita di Kedah.

"Sudah pasti imej skuad wanita Kedah yang kerap disebut sebagai antara calon juara setiap musim ini akan tergugat jika dengan keadaan mereka perlu bergerak tanpa KFA.

"Ini akan memberi imej negatif untuk perkembangan bola sepak di Kedah, sedangkan nama skuad utama lelaki sedang gah di carta Liga Super setakat ini.

"Kita memiliki bakat pemain wanita yang sangat berkaliber setiap musim dan ditambah pula pengurusan KFA yang memiliki keupayaan menguruskan bola sepak wanita namun jika tiada sokongan dan dari badan bola sepak berkenaan maka skuad wanita akan dilihat tempang dan terumbang ambing.

"Jika perkara ini benar, saya rasa begitu terkejut dan berharap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM Datuk Suraya Yaacob yang selama ini begitu dekat dengan skuad wanita Kedah dapat membantu 'memujuk' KFA bagi menyelesaikan keadaan ini." katanya.

Sementara itu, merujuk kepada laman facebook pasukan bola sepak wanita Kedah iaitu Kelab Bolasepak Red Eagle - Red E' Girls, pasukan berkenaan sedang mencari penaja dan dana yang diperlukan untuk misi saingan Piala Tun Sharifah Rodziah musim ini.

"Salam Jumaat dan Salam Sejahtera. Dalam rangka penubuhan kelab bolasepak wanita pertama di utara ini, kami berhasrat untuk menghantar pasukan bersaing dalam satu-satunya kejohanan untuk bola sepak wanita iaitu PTSR musim 2021.

"Kami memerlukan penaja dan dana untuk bersaing kali ini kerana akan bergerak secara berdikari untuk musim 2021.

"Moga tajaan dan sumbangan pihak Datuk/ Tuan/ Puan sama-sama dapat manfaat dan menyumbang ke arah pembangunan sukan khususnya bola sepak wanita di Kedah ini." katanya.

Untuk rekod, kecemerlangan pasukan bola sepak wanita Kedah begitu terserlah selepas menjuarai kejohanan Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Wanita dan meraih gelaran Naib Juara PTSR musim 2017 serta disusuli seterusnya dengan menjuarai kejohanan PTSR untuk musim 2018 dan Naib Juara PTSR pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 8:32 PM