Piala Tun Sharifah Rodziah menjadi tumpuan warga Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Udang.FOTO NAZRI ABU BAKAR
Piala Tun Sharifah Rodziah menjadi tumpuan warga Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Udang.FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


PIALA Tun Sharifah Rodziah dipertontonkan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Udang, Melaka sempena Kem Perkampungan Sukan sekolah terbabit selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Mahkota kejuaraan berprestij bagi saingan bola sepak wanita di negara ini menjadi milik pasukan Melaka selepas berjaya menewaskan Kedah pada pentas final di Cyberjaya, pada 14 Julai lalu itu.

Pengurus pasukan bola sepak wanita Melaka, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah, berkata pegawai dan pemain skuad terbabit turut berkongsi pengalaman indah mencipta sejarah menjulang piala berkenaan buat pertama kalinya sejak dipertandingkan pada 1976.

"Kami mengharapkan program sedemikian menyuntik motivasi tinggi dalam kalangan generasi muda untuk aktif sekali gus mencipta kejayaan besar dalam semua cabang sukan yang diceburi.

"Sememangnya bukan mudah untuk meraih kejuaraan jika kesungguhan dan komitmen tinggi tidak menjadi asas dalam permainan amat sukar sejarah untuk dipahatkan.

Justeru kami yakin piala terbabit simbolik ke arah merangsang keupayaan warga sekolah untuk tampil cemerlang," katanya.

Piala berkenaan diserahkan Maisarah kepada Pengetua SMK Sungai Udang, Azmi Kassim.

Hadir sama Pengerusi Teknikal Bolasepak Majlis Sukan Sekolah (MSS) Negeri Melaka yang juga Setiausaha Sukan SMK Sungai Udang, Shawal Hassan.

Shawal berkata, antara aktiviti perkampungan sukan berkenaan termasuk pertandingan bola sepak, ragbi sepak takraw, hoki, badminton, olahraga dan ceramah motivasi.

Menurutnya, program itu adalah antara usaha pihak sekolah membentuk pemain berkualiti untuk pasukan negeri dan negara selain pentas mengeratkan hubungan silaturahim antara guru dan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 5:32 PM