SKUAD bola sepak wanita Negeri Sembilan muncul naib juara kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah 2022 selepas tewas tipis 0-1 kepada Melaka. FOTO FAM
SKUAD bola sepak wanita Negeri Sembilan muncul naib juara kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah 2022 selepas tewas tipis 0-1 kepada Melaka. FOTO FAM
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad bola sepak wanita Negeri Sembilan akur dengan kegagalan mereka untuk menjulang kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah 2022 buat julung kalinya, selepas dikecewakan oleh Melaka United, 0-1, malam tadi.

Dalam pertembungan penentuan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, jaringan Fatin Shahida Azmi pada minit ke-115 berjaya membantu Melaka mempertahankan kejuaraan berkenaan.

Pengurus pasukan Negeri Sembilan, Valerie Boubeville berkata, nasib nyata tidak menyebelahi pasukannya walaupun pemain berjaya memberikan aksi bertenaga sepanjang tempoh permainan.

"Pemain Negeri Sembilan bukan sahaja berjaya mengimbangi kekuatan pasukan Melaka malah berjaya mencipta tidak kurang lima peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

"Namun, gol pemain lawan yang dijaringkan pada penghujung saingan membuatkan impian kami untuk mencipta sejarah menjulang kejuaraan ini tidak kesampaian.

"Bagaimanapun, saya puas hati terhadap persembahan semua pemain kerana mereka telah berikan yang terbaik, cuma nasib tidak memihak kepada kami," katanya di sini, hari ini.

Valerie berkata, Negeri Sembilan menunggu sekian lama untuk mara ke pentas final kejohanan itu dengan harapan tahun ini memihak kepada pasukannya untuk merangkul kejuaraan, namun impian berkenaan, tersasar.

Menurutnya, pencapaian selaku naib juara adalah pencapaian terbaik skuad bola sepak wanita Negeri Sembilan atau gelaran Milah.

Katanya, pihaknya akan mengatur persiapan lebih rapi selepas ini dalam usaha membentuk pasukan lebih mantap dengan memperbaiki segala kelemahan dan meningkatkan lagi tahap persembahan, sebagai persiapan musim hadapan.

"Kami tidak akan berputus asa atas kegagalan ini dan akan meneruskan

perjuangan membina pasukan mantap bagi menghadapi musim depan.

"Tahniah buat semua pemain terutama Hendrietta Justine yang muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol serta Nur Ezza Ashikin Abdul Razak, yang dinobatkan selaku penjaga gol terbaik.

"Kejayaan dua pemain itu boleh dianggap sebagai pengubat duka pasukan kami," katanya.

Selaku naib juara, Negeri Sembilan membawa pulang hadiah RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 6:10 PM