JAMIL (dua dari kanan) dan Zulkifli (dua dari kiri) bersama kapten pasukan masing-masing  pada sidang media praperlawanan PTSR 2019 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).  - FOTO FB FAM
JAMIL (dua dari kanan) dan Zulkifli (dua dari kiri) bersama kapten pasukan masing-masing pada sidang media praperlawanan PTSR 2019 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). - FOTO FB FAM
Meor Riduwan Meor Ahmad

KEMENANGAN 3-0 ke atas Kedah di peringkat kumpulan bukan jaminan mutlak untuk Melaka mencipta sejarah meraih kejuaraan sulung pada final Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2019 di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ahad ini.

Pengendali skuad, Jamil Hassan berkata, biarpun kemenangan itu memberi sedikit kelebihan bagi mencorak strategi, suasana perlawanan akhir pasti berbeza dengan kedua-dua pasukan memburu kemenangan.

Sehubungan itu beliau mahu pemainnya mengekalkan corak permainan dan mengikut segala arahan jurulatih sepanjang 90 minit perlawanan ketika menewaskan PDRM di separuh akhir tempoh hari.

"Kita tak boleh ambil mudah walaupun pasukan baru. Kemungkinan besar tenaga baru dan orang muda, permainan pun mungkin berbeza daripada tahun lalu. "

“Dari pusingan pertama lagi Kedah sebuah pasukan mantap di seluruh posisi. Jadi kami buat persiapan peringkat pertama dan berjaya.

"Pusingan akhir, sukar kita ramalkan kerana masing-masing mengejar impian. Bagi Melaka memang kami sasar menang piala tahun ini dan jika ikut arahan jurulatih tiada masalah untuk kita muncul juara tahun ini," katanya ditemui pada sidang media praperlawanan PTSR 2019 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jamil memberitahu Harian Metro, beliau akan melakukan perubahan strategi selepas mengkaji perlawanan Kedah menentang Selangor di separuh akhir.

Sementara itu, strategi bertahan dengan kawalan pemain menjadi strategi Kedah pada final menentang Melaka.

Menyedari anak buahnya kurang berpengalaman berbanding lawan, ketua jurulatih bola sepak wanita Kedah, Zulkifli Jaafar yakin pendekatan itu mampu mengekang lawan yang diperkuat pemain beraksi di final tahun lalu.

"Jadi kali ini saya mungkin menukar strategi kepada bertahan dan kawalan rapi serta melakukan serangan balas jika ada ruang. Dari segi formasi juga saya akan tukar sama ada guna 4-4-2 atau 4-5-1 bagi imbangi lawan di bahagian tengah," katanya.

Kedah menundukkan Selangor 3-1 untuk mara ke final bagi kali ketiga berturut-turut, manakala Melaka membelasah PDRM 5-1 di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 8:27 PM